Ismail Sabri Buat Laporan Polis, Video Lama Tular Berniat Jahat, Fitnah, Kelirukan Rakyat

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Menteri kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis berhubung klip video lama yang baru-baru ini tular di media sosial dan telah diolah serta dimainkan semula untuk tujuan berniat jahat, fitnah dan mengelirukan rakyat.

Laporan polis dibuat oleh Setiausaha Akhbarnya, Azlina Rosdy di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Ujarnya, tujuan membuat laporan polis adalah untuk pihak berkuasa PDRM dapat membuat siasatan dan seterusnya memastikan penularan berita palsu dapat ditangani dan peranginya.

“Dua akaun facebook memainkan semula video Datuk Seri Ismail Sabri ketika menyampaikan sidang media harian COVID-19 pada 14 April 2020 untuk tujuan mengelirukan rakyat dan cubaan menimbulkan kemarahan rakyat terhadap Kerajaan berkaitan tiada lagi saman dan kompaun jika pelanggaran SOP.

“Video tersebut diumumkan dalam kontek PKP 1.0 ketika itu apabila masih ada pelanggaran-pelanggaran SOP oleh orang ramai yang tidak mengendahkan ketetapan yang telah kerajaan umumkan.

“Video tersebut dimainkan semula pada 7 dan 8 Feb 2021 semata-mata untuk mengelirukan rakyat bahawa larangan dan SOP terbaru telah diumumkan Menteri Kanan Pertahanan walhal ianya video dan pengumuman yang telah lama berlaku dan telah melalui pelbagai penambahbaikan,” katanya merujuk kepada laporan polis yang telah dibuat.

Selain itu katanya, posting sengaja dibuat dengan ‘caption’ yang jelas mahu memfitnah yang kesan dari tularnya video tersebut, Ismail Sabri telah diserang di media-media sosial dan menyebabkan kredibiliti beliau tercalar serta berdepan kritikan negatif netizen.

Dilaporkan, video tersebut tular di facebook dan dalam kumpulan ‘whatsapp’ yang mendapat perdebatan terbuka.

“Ianya jelas telah menambahkan kemarahan rakyat yang mempercayai video tersebut walhal ianya sebuah video lama ketika PKP 1.0 (Sidang Media 14 April 2020) dan sebuah video majlis Kempen Tabung Hari Pahlawan yang mana YBMK merupakan tetamu khas yang dijemput ketika PKPP di Kuala Lumpur(15 September 2020)

“Kedua-dua akaun facebook ini konsisten menularkan video-video yang telah diolah dan dimainkan semula untuk memfitnah dan mengelirukan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.