Kementerian Perlu Cadang SOP Bagi Sektor Belum Dibenar Operasi – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Kementerian berkaitan perlu mencadangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi sektor yang belum dibuka untuk dipertimbangkan dan dibenarkan beroperasi, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata cadangan SOP berkenaan akan dirujuk ke Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dibawa ke Mesyuarat Khas MKN sebelum dibenarkan beroperasi.

“Sidang Khas MKN kali ini melibatkan sebahagian jemaah menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam Jawatankuasa Sidang Khas MKN yang dipengerusi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Setiap keputusan yang kita buat adalah berdasarkan kepada sidang khas tersebut, mana-mana (sektor atau industri) yang belum dibenarkan kita akan bincangkan semua cadangan,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Beliau berkata arahan kepada setiap kementerian untuk mengemukakan SOP bagi sektor industri yang belum dibuka itu diputuskan dalam Sidang Khas MKN semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada mereka yang menyambutnya dan mengingatkan semua agar terus mematuhi SOP.

“Seperti waktu musim perayaan sebelum ini, pihak polis akan mengawal ketat pematuhan SOP termasuk di kawasan kejiranan dan perumahan, jadi patuhi SOP agar tiada siapa dikenakan tindakan.

“Mematuhi SOP bukan hanya untuk mengelakkan daripada disaman tetapi adalah untuk kepentingan diri sendiri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata seramai 575 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan SOP oleh Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan.

Katanya, daripada jumlah itu, 532 telah dikompaun, 39 individu direman manakala empat dijamin dan antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan, tiada penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.