Teruskan PdPR Atau Buka Sekolah Dengan SOP Ketat… Mana Satu Pilihan Terbaik

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Isu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah atau PdPR antara yang hangat diperdebatkan hari ini tidak kira di media sosial, group WhatsApp tidak kurang para ibu dan kejiranan, ujar Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan.

Katanya, beliau menerima banyak luahan berkenaan sesi PdPR yang diumum kerajaan bermula 20 Januari lalu.

“Sebelum kita buat kesimpulan, mohon pandangan anda semua, apa yang terbaik buat pembelajaran anak-anak kita dalam suasana wabak COVID-19 hari ini..

“Nyatakan di ruang comment ya,” kata Zahida dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam entrinya itu, Zahida turut memuat naik grafik dua pilihan iaitu satu (1) Teruskan PdPR dan dua (2) Buka semula sekolah dengan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat.

Dalam ruangan komen di Facebooknya, terdapat beberapa pengguna media sosial antaranya seperti Zaparudin Abdul Rahim, Ain Sarina Sahar dan Lyenda Nurman memilih pilihan nombor dua kerana berpendapat PdPR kurang berkesan disebabkan ramai golongan tidak mampu untuk sediakan gajet untuk semua anak, menyukarkan bagi ibubapa yang kedua-duanya bekerja dan tidak mampu memantau atau memberi perhatian penuh anak yang terlibat pembelajaran atas talian.

Begitu juga pandangan yang sama diutarakan oleh Muzamir Amir yang berkata PdPR selain agak merumitkan kepada pelajar dan ibu bapa, ia juga memberi kesan yang sama kepada guru.

“..Kadang-kadang pun cikgu pun pening salah masuk group la salah hari sampai kan ada cikgu yang buat kelas sebelah malam sebab tak nak bertindih jadual,” katanya.

Manakala bagi JuraHarun JH lebih memilih pembelajaran secara maya kerana walaupun dengan SOP yang ketat bukan mudah bagi pihak sekolah untuk mengawal anak-anak murid.

“..lagipun jangan bahayakan nyawa dan kesihatan anak-anak kita… ini dari saya.. tapi kalau lihat pada pandangan lain yang mana ibu bapa kurang kemampuan, pihak kerajaan perlu mencari inisiatif untuk membantu mereka ini.

“Bagi saya janganlah bahayakan anak-anak kita hanya kerana kesusahan dalam mendidik anak-anak… jujur saja pada pihak sekolah kerana tak mampu menyediakan device dan line internet… rasanya guru-guru pun memahaminya… yang penting kerajaan kini kena mencari inisiatif dalam penyediaan device untuk anak murid kurang kemampuan… x (tak) salah invest pada pelapis negara,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.