‘Full PKP’ Dan ‘Half PKP’: Mana Alternatif Terbaik Kekang Penularan Tinggi COVID-19 – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 10 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata terdapat dua alternatif dalam berhadapan jangkitan pandemik COVID-19 yang tinggi iaitu ‘Full PKP’ (kuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan secara penuh) dan ‘Half PKP’ (kuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan sebahagian).
Katanya, ‘Full PKP’ ialah kerajaan dan bank memberi bantuan kewangan kepada rakyat serta meminta rakyat kekal tenang di rumah untuk tempoh masa tertentu.
“Kes harian jangkitan COVID-19 dapat dikurangkan segera. Darurat pun dapat ditamatkan segera. Sektor ekonomi dibuka semula, tetapi dengan SOP (prosedur operasi standard) ketat untuk terus melandaikan lengkung jangkitan. Kemudian baru kita lihat kepada keberhasilan program vaksinasi.
“Kedua buat ‘Half PKP’. Kerajaan dan bank kurang beri bantuan kewangan kepada rakyat. Namun rakyat diberi kelonggaran ke sana-sini untuk bekerja dan menyara hidup walaupun ancaman wabak masih tinggi.
“Kes COVID-19 mungkin tidak dapat dikurangkan segera. Darurat pun tidak tahu bila dapat ditamatkan. SOP yang kurang ketat melambatkan usaha melandaikan lengkung jangkitan COVID-19. Kita bergantung sepenuhnya kepada keberkesanan vaksin nanti,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu entri di Facebook pagi ini.
Bagaimanapun tambahnya, kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin bahawa vaksin sedia ada mungkin kurang berkesan terhadap varian baharu COVID-19 menimbulkan persoalan tentang keberkesanan alternatif kedua dalam membebaskan segera rakyat daripada ribuan kes jangkitan sehari.
“Sebab itu sejak awal saya konsisten dengan cadangan yang menjurus ke arah alternatif pertama. Bagaimanapun keputusan pihak yang berwajib kelihatan lebih terarah kepada alternatif kedua.
“Sebab itu juga saya kerap menyuarakan keluhan rakyat yang terpaksa hidup dengan alternatif kedua – yang menyebabkan mereka masih perlu keluar rumah untuk menyara hidup walaupun dalam keadaan pasaran yang lembab dan jangkitan masih mencanak,” tegasnya.
Justeru katanya, apa yang boleh semua lakukan dalam situasi hari ini ialah dengan berusaha menjaga diri sebaik mungkin mengikut SOP yang ditetapkan dan banyakkan berdoa memohon perlindungan kepada Allah agar terpelihara dari wabak COVID-19 ini.
“Hanya kepada Allah kita menyembah dan kepadaNya jualah kita memohon pertolongan,” serunya. – UMNO ONLINE