Perlukah Menteri Dikenakan Kompaun Ingkar PKP… Ada Kata ‘Double Standard’? – Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan perlukah menteri dikenakan kompaun apabila kelihatan mengingkari arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini kerana katanya, sejak negara dilanda COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, rakyat sentiasa diingatkan supaya menjaga penjarakan sosial yang bertujuan memutuskan penularan wabak.

“Jika ingkar arahan penjarakan sosial, rakyat perlu sediakan RM1,000 sebagai denda. Ini hukuman asas yang diketahui ramai.

“Mana-mana lokasi pun sama. Pasar malam, kedai runcit, pasar raya, stesen minyak, kedai ubat, kedai menjual santan. Perlu lihat kiri dan kanan. Wajib menjaga jarak.

Tetapi semalam ada menteri dilaporkan bertemu 500 penduduk di Hulu Langat. Pada perkiraan saya 500 orang itu sangat ramai jumlahnya.

“Saya tahu untuk sampaikan sumbangan. Terima kasih diucapkan. Bukan saja sumbangan, tetapi pemberian peruntukan RM30,000,” katanya Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam hantaran di Facebooknya.

Soalnya, selama ini kerajaan melarang aktiviti dalam perhimpunan ramai tetapi menteri boleh?

“Cumanya rakyat kena online, sekolah kena online, bekerja kena online, tetapi sumbangan dana oleh menteri tidak boleh buat online?

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mahu membantu menyahkuman atau sanitasi di kawasan-kawasan sekolah pun dihalang.

“Ini yang menjadi persoalan dalam kalangan rakyat. Saya memantau komen di Facebook ramai mengatakan ini ‘double standard’,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Terdahulu, dilaporkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali pada 7 Feb berkongsi menerusi media sosialnya menziarahi masyarakat Cina dan mengagihkan bantuan kepada 500 keluarga yang memerlukan selain meluluskan peruntukan RM30,000 kepada persatuan setempat untuk penyediaan rawatan tradisional kepada masyarakat berkenaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.