150,000 Komputer Riba Dari PN Bukan Pemberian, Sama Seperti Skim Pinjaman Buku Teks

KUALA LUMPUR, 9 Feb – “Rupanya ‘pemberian’ 150,000 komputer riba seperti diumum kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam bajet 2021 bukan pemberian tetapi adalah skim pinjaman seperti skim pinjaman buku teks sekolah.”

Demikian luah mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menerusi laman facebooknya berkaitan hal tersebut.

Jelasnya, melalui skim ini komputer tetap milik kerajaan dan denda RM300 akan dikenakan jika komputer hilang atau rosak malah ianya terhad kepada Kedah, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kelantan, Sabah, dan Sarawak sahaja.

“Jika dulu kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu beri (bukan pinjam) 1.7 juta netbook 1Malaysia kepada murid-murid sekolah dan guru, kenapa kerajaan PN tak gunakan kaedah yang saya saran hari itu untuk memberi 2 juta notebook kepada murid-murid sekolah untuk menghadapi pembelajaran atas talian dalam pandemik Covid ini?” soalnya.

Dalam hal ini beliau merujuk kepada cadangan terdahulunya tentang cara menyelesaikan masalah kekurangan komputer bagi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Antara cadangan Ahli Parlimen Pekan itu ialah menggunakan peruntukan dari tabung SKMM yang masih diteruskan di bawah kerajaan PN bagi memberi 2 juta komputer serta pakej internet percuma setahun kepada murid-murid sekolah yang terpaksa menjalani PdPR akibat pandemik COVID.

Kos bagi 2 juta komputer bersama pakej internet setahun dianggarkan sebanyak RM2 bilion malah cara ini juga pernah digunakan kerajaan BN dahulu untuk memberi sekitar 1.7 juta netbook 1Malaysia yang juga dana juga dari tabung SKMM.

Terdahulu dilaporkan, menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November lepas oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan mengumumkan inisiatif pemberian komputer riba, tablet dan data kepada 150,000 murid di 500 sekolah pada Februari yang bertujuan untuk membantu keluarga berpendapatan rendah (B40). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.