PKPD Di Muadzam Shah, Rompin Libatkan 18 Taman Perumahan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di 18 taman perumahan di Bandar Muadzam Shah, Rompin, Pahang bermula esok sehingga 22 Feb ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bagi mengawal jangkitan dalam komuniti dan memutuskan rantaian pandemik COVID-19 selain membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksana pengesanan awal melalui saringan secara bersasar ke atas penduduk di lokaliti terbabit.

Menurutnya, KKM hari ini melaporkan terdapat peningkatan kes COVID-19 melibatkan komuniti di kawasan taman perumahan Desa Bidara; Desa Keranji; Taman Redan Perdana; Desa Teratai; Desa Melor; Desa Mawar 1 dan 2; Desa Jati 1 dan 2; Desa Anggerik; Desa Kenanga serta Desa Tanjung; Desa Dahlia 1 dan 2; Desa Cempaka; Desa Alamanda; Pinggir Pelangi dan Desa Semarak.

“Sehingga kini, KKM melaporkan sebanyak 13 kes positif telah direkodkan dalam Kluster Hikmah melibatkan jemaah Masjid Al-Muadzam Shah serta ahli keluarga yang tinggal di taman-taman ini.

KKM turut mengesahkan terdapat peningkatan secara mendadak yang melibatkan komuniti di mana 13 kes tersebut telah direkodkan dalam masa 10 hari,” katanya dalam kenyataan media mengenai perkembangan PKP hari ini.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPD itu melibatkan 9,805 penduduk dan 2,178 buah rumah, namun tidak akan melibatkan Bandar Satelit.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata 950 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam dan daripada jumlah itu 838 dikompaun, 93 direman dan 19 dijamin.

Beliau berkata antara kesalahan dilakukan termasuk tiada penjarakan fizikal (217), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (209), tidak memakai pelitup muka (180) serta premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (41).

Mengenai Op Benteng bagi mengawal sempadan negara, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata 24 pendatang tanpa izin ditahan, selain masing-masing dua kenderaan darat serta kapal dirampas dalam operasi semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata 7,139 pekerja asing telah menjalani ujian saringan semalam dan daripada jumlah itu, 66 disahkan positif COVID-19.

Beliau berkata secara kumulatif sejak 1 Dis tahun lepas, sebanyak 319,762 pekerja asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 13,897 majikan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.