Gunung Terundum, Gunung Rapat, Gunung Lanno Tidak Disenarai Sebagai Geopark Lembah Kinta

IPOH, 8 Feb – Gunung Terundum, Gunung Rapat dan Gunung Lanno di Batu Gajah yang terlibat dengan aktiviti kuari telah diwartakan sebagai Zon Ekonomi Industri Asas Mineral/Batuan dalam Rancangan Tempatan Majlis Daerah Batu Gajah 2025.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata sebahagian besar gua yang terletak di ketiga-tiga gunung adalah hak milik pengusaha kuari serta tidak disenaraikan sebagai Geopark Lembah Kinta yang mempunyai 18 geotapak dan kesemuanya tidak terletak di kawasan aktiviti pengkuarian.

“Industri pengkuarian batu kapur merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Perak dan bermula sekitar tahun 1970 dengan kebanyakan kuari dimiliki oleh syarikat persendirian secara pajakan dan beroperasi selama lebih kurang 50 tahun,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil menggesa agar Kerajaan Negeri Perak campur tangan dalam isu Gunung Lanno yang semakin terancam apabila kawasan itu dijadikan sebagai zon kuari.

Pada 5 Feb lepas, Aktivis Kinta Valley Watch, Ching Boon Tat turut meluahkan kebimbangan Gunung Lanno bakal menerima nasib sama seperti Gunung Terundum yang dahulunya dikatakan berketinggian lebih 430 meter namun semakin rata setelah diletupkan bagi mendapatkan hasil mineral.

Menurut Saarani, industri kuari sentiasa dipantau oleh agensi bertanggungjawab seperti Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, polis serta Majlis Daerah Batu Gajah.

Beliau berkata selain itu, industri pengkuarian di Perak beroperasi mengikut beberapa undang-undang termasuk Akta Pembangunan Mineral 1994, Enakmen Mineral (Perak) 2003 (EMP) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Mengenai spesies flora kritikal yang terancam iaitu Hopea Bilitonensis di Gunung Gajah dan Gua Tempurung serta penemuan fosil gigi gajah purba di gua batu kapur di Gopeng, Saarani berkata ia tidak terletak di zon pengkuarian selain tiada aktiviti pengkuarian aktif berhampiran kawasan terbabit.

“Gua Kanthan, Chemor di sini yang menjadi habitat spesies labah-labah Liphistius Kanthan terletak di dalam tanah hak milik kuari namun tiada aktiviti pembangunan kuari dijalankan di kawasan gua tersebut,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai langkah pemulihan seperti penanaman semula pokok di kawasan kuari Simpang Pulai bagi mengelakkan masalah pencemaran pemandangan, pencucian jalan raya Simpang Pulai-Cameron Highlands dan pembinaan ‘washing bay’ berpusat untuk mencuci kenderaan yang membawa keluar bahan batuan dan mineral dari kuari.

Katanya kos penanaman pokok dibiayai secara bersama oleh kerajaan negeri dan pengusaha kuari manakala kerja pencucian jalan raya dan pembinaan serta penyelenggaraan ‘washing bay’ berpusat dibiayai sepenuhnya oleh pengusaha kuari.

Menurut Saarani, pemilik kuari juga diwajibkan untuk mengemukakan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) apabila hendak menjalankan industri kuari. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.