Tommy Thomas Tiada Integriti, Cemar Institusi Perundangan Negara – Syed Johan

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Tidak pernah dalam sejarah perkhidmatan awam negara, pegawai peringkat paling tinggi kerajaan yang telah menamatkan perkhidmatan mengeluarkan sebuah buku yang mendedahkan pelbagai rahsia negara yang belum pasti kesahihannya.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, walaupun ramai pemimpin telah membukukan pengalaman mereka sepanjang puluhan tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam, tidak pernah ada yang menulis buku sejelek memoir bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas ‘My Story; Justice in the wilderness’.

“Jelas Tommy telah melanggar tanggungjawab dan integriti sumpah rahsia dan sumpah jawatan sebagai peguam negara apabila telah dengan sengaja memimpin ‘ekspedisi’ pembacanya terlibat dengan keributan politik peribadinya berlandaskan ‘maklumat orang dalam’ rahsia kerajaan diperolehinya semasa tempoh perkhidmatannya selaku penjawat awam tertinggi negara.

“Penulisan bekas Peguam Negara ini jelas adalah pandangan peribadi yang bukan sahaja telah mengkritik, memperlekehkan dan menghina institusi Peguam Negara, penjawat-penjawat awam, mantan-mantan Perdana Menteri, mengabaikan keputusannya yang ‘ironik’ dalam kes pendakwaan penganas-penganas LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam) dan mangsa keganasan perkauman iaitu Allahyarham Adib malah dalam kes rasuah banglo Lim Guan Eng, disyaki mempunyai pengaruh yang tidak wajar menarik balik pendakwaan di tengah tengah perjalanan prosiding mahkamah.

“Beliau juga telah mencemar institusi perundangan negara apabila dengan sendirinya menimbulkan pelbagai kerisauan pelanggaran etika jawatan dan kedudukannya pada ketika masa yang material,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Syed Johan, Tommy dalam tulisannya juga membuat dakwaan tidak berasas dengan menimbulkan isu-isu yang mampu mengancam keselamatan negara malah mengangkat siri tuduhan-tuduhan melampau yang serius berbaur fitnah, rasis sifatnya, jauh dari kebenaran serta menghina kes dan prosiding kehakiman yang masih berjalan.

Justeru katanya, Pemuda UMNO Kedah Mengesyorkan supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan perintah larangan penerbitan terhadap buku ini mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) sekaligus mengharamkannya.

“Jelas menerusi buku berkenaan Tommy bukan sahaja telah mendedahkan pelbagai rahsia kerajaan, malah mencemarnya dengan pelbagai sindiran perkauman, mengkritik sistem raja berpelembagaan, prejudis, melakukan penipuan fakta, bersimpati dengan fahamn komunisme, mempertahankan kumpulan simpati penganas, mencipta hasutan mengugat keharmonian dalam negara dan pelbagai lagi pandangan yang jelik, tulisannya menyalahkan semua orang tetapi tidak ketidakcekapan dirinya sendiri.

“Tindakan beliau adalah sangat membahayakan negara dan ia adalah tindakan pengkhianat. Kita tidak mahu ia menjadi satu kebiasaan nanti apabila penjawat awam apabila sudah bersara, kemudiannya berani mendedahkan rahsia kerajaan menerusi sebarang medium,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu ujarnya lagi, Pemuda UMNO Kedah mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan satu siasatan segera terhadap Tommy Thomas di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203A Kanun Tatacara Jenayah, mendakwa Tommy atas salah laku dan pembocoran rahsia dan penghinaan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, fakta palsu tentang mantan-mantan Perdana Menteri dan institusi penjawat awam serta pelbagai lagi dakwaan rekaan.

“Pemuda UMNO Kedah juga merayu dan memohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong supaya menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri beliau. Tommy tidak layak terus memakai gelaran tertinggi negara itu atas sikap prejudis dan khianatnya kepada negara,” bidasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.