PKPD Di Sebuah Sekolah Di Perak, Dua Kampung Di Sarawak Esok Hingga 19 Feb

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Sebako 1 serta 2 di Lundu, Sarawak, dan Sekolah Menengah Sultan Idris Shah II di Gerik, Perak, bermula esok hingga 19 Feb.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD itu bertujuan memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar di kedua-dua lokaliti dan untuk mengawal jangkitan dalam komuniti.

Merujuk kepada dua kampung di Lundu, beliau berkata KKM telah melaksanakan 790 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 31 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

Menurutnya antara prosedur operasi standard (SOP) PKPD di kawasan berkenaan adalah penduduk tidak dibenarkan keluar dan masuk dari atau ke kawasan PKPD, dan pemberian bantuan bekalan makanan akan diselaraskan secara bersama oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Kuching.

“Selain itu, tiada aktviti sosial, rekreasi dan budaya; semua sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi dan semua surau, masjid, rumah ibadat dan sekolah ditutup sepanjang tempoh PKPD. Bagi kes sakit atau kematian, perlu kemukakan permohonan pergerakan kepada polis,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Sementara itu, PKPD di Kampung Sungai Ud dan Kampung Sungai Ud Hilir di Dalat, Sarawak yang dijadualkan tamat pada 10 Feb, kini dilanjutkan sehingga 16 Feb.

“Sehingga 3 Feb, sebanyak 21 kes positif COVID-19 telah direkodkan dan KKM mengesahkan masih terdapat sejumlah 2,021 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” katanya.

Bagi PKPD di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah II di Gerik, Perak, Ismail Sabri berkata sehingga 2 Feb lepas KKM telah melaksanakan 81 ujian saringan dan daripada jumlah itu 24 kes positif COVID-19 telah direkodkan, dan masih ada baki dua sampel menunggu keputusan.

Sementara itu, menurutnya 747 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dan daripada jumlah itu, 723 dikompaun manakala 24 individu direman.

Antara kesalahan yang direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka (159), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (113), tiada penjarakan fizikal (140), gagal menyediakan peralatan/ merekod diri/ pelanggan (156), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (50), keluar rumah tanpa alasan munasabah (41) dan lain-lain (88).

Ismail Sabri berkata Ops Benteng semalam pula telah berjaya menangkap tiga orang pendatang tanpa izin dan merampas sebuah bot serta lima kenderaan darat.

Mengenai SOP sambutan Tahun Baru Cina minggu depan yang diumumkan sebelum ini, Ismail Sabri berkata ia merupakan SOP ketat yang telah dilaksanakan sewaktu setiap perayaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.