Solidari Kata Kunci Sebenar Kejayaan Parti Tempuh Badai, Gelora Yang Melanda – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam apa jua keadaan dan situasi solidariti di kalangan ahli parti termasuklah pimpinan cukup penting dalam usaha memastikan bahtera yang dilayar sampai ke destinasi yang dituju.

Sambil melahirkan penghargaan atas istiqamah mereka yang terus setia dengan parti, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk seterusnya mengajak seluruh ahli UMNO untuk sama-sama membina dan meletakkan parti agar ianya terus relevan dan insya-Allah mampu mendepani cabaran khususnya pada pilihan raya umum akan datang.

“UMNO ini harus diperkukuhkan. Solidariti ini cukup penting bagi saya bukan hanya di kalangan kepimpinan atas kerana saya lihat di bawah solidariti ini cukup kukuh.

“Saya ambil contoh apabila 22 ketua UMNO bahagian dan terdapat timbalan serta naib di Sabah daripada 25 bahagian meletakkan jawatan dan keluar daripada gelanggang. Daripada gelanggang ini mereka keluar dan masuk ke gelanggang lain namun UMNO tidak pernah runtuh.

“Cawangan-cawangan tidak terbubar dan ahli-ahli cawangan tidak lari walaupun mereka mungkin cuba dibeli. Ini indahnya akar umbi UMNO walaupun ada usaha dilakukan. Dalam keadaan ini itu yang saya sebutkan rumah agam apabila tiangnya masih kukuh…marilah kita sama-sama membina meletakkan balik lantai perjuangan, meletakkan dinding sebagai tembok supaya apa yang berlaku di dalam tidak terlalu kelihatan daripada luar, begitu juga bumbung perjuangan supaya panas terik tidak melanda rumah agam kita apatah lagi jika ada badai ataupun hujan yang melanda rumah. Maka solidariti menjadi mauduk penting untuk kita membina UMNO,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam program Terus Terang terbitan NRChannelTV.Net yang disiarkan di sini, Rabu malam, yang dihoskan oleh Datuk Rafi Awang Kechik.

Mengulas tentang kritikan yang dilontarkan, Ahmad Zahid memberitahu beliau mengambil segala kritikan berkenaan sebagai lumrah politik dan bersikap memaafkan mereka yang melontarkan kritikan tersebut.

“Saya mohon doa daripada Allah SWT…berilah saya kekuatan untuk sama-sama kita membina parti ke arah bangkit semula di dalam era yang terdekat ini. Saya rasa tidak pernah terpukul dengan terjahan, serangan peluru fitnah dan pelbagai sama ada daripada dalam atau luar. Saya merasakan bahawa ini adalah lumrah politik. Kita lihat kalau kita tidak mahu dilanda ombak jangan buat rumah di tepi pantai. Sekali air bah sekali pantai berubah.

“Jadi dalam keadaan itu kita lihat bagaimana perjuangan pengasas UMNO untuk mencapai kemerdekaan itu sukar tetapi untuk mengisi erti kemerdekaan itu lebih sukar. Tambahan pula di dalam tempoh 1957 hingga sekarang satu tempoh yang berdekad. Tujuh dekad lebih dan kita merasakan ini adalah asam garam politik yang kita hadapi,” ujarnya.

Pada masa yang sama Ahmad Zahid turut merungkai bagaimana mengurus perbedaan kepimpinan yang ada di dalam parti.

“Tidak kenal maka tidak cinta…tiap-tiap seorang pemimpin itu mesti ada latar belakang yang berbeda tetapi kita jangan cari titik perbedaan. Kita mesti cari titik persamaan kerana kita sama-sama mendokong UMNO.

“Saya didokong dengan cukup kuat dengan timbalan presiden, naib-naib presiden termasuk sayap dan Alhamdulillah rakan-rakan di kalangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang mendokong saya dan sebagainya lagi yang mahu melihat perubahan-perubahan  dilakukan supaya dapat diterjemahkan UMNO terus relevan dan insya Alah UMNO akan relevan di dalam pilihan raya umum akan datang,” tambahya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.