RM100,000 Parlimen Bagan Datuk: ‘Terima Kasih’ Walaupun Tidak Sama Peruntukan Lain – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan setakat ini beliau hanya menerima peruntukan berjumlah RM100,000 untuk Parlimen Bagan Datuk bagi tahun 2021 berbanding dengan ahli-ahli parlimen kerajaan yang lain dan senario berkenaan turut di alami oleh empat lagi parlimen iaitu Pekan, Pontian, Machang dan Padang Rengas.

Namun Ahmad Zahid tetap bersyukur dengan peruntukan yang diberikan dan berdoa mereka yang membuat keputusan berkenaan terbuka hatinya untuk memberikan peruntukan yang sama sepertimana yang diterima oleh ahli-ahli parlimen kerajaan lain iaitu RM3.7 juta.

“Setakat ini saya terima peruntukan sebanyak RM 100,000 setahun untuk tahun 2021 manakala ahli-ahli parlimen kerajaan yang lain mendapat peruntukan RM3.7 juta dan Alhamdulillah saya mendapat RM100,000. ‘Cukuplah’ untuk Bagan Datuk rasanya dan saya ucapkan terima kasih atas peruntukan yang diberikan.

“Setakat ini peruntukan yang diperolehi pembangkang RM100,000 dan itulah peruntukan yang diperolehi oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahli Parlimen Pontian, Ahli Parlimen Pekan, Ahli Parlimen Padang Rengas dan Ahli Parlimen Machang. Mudah-mudahan terbukalah hati sesiapa yang membuat keputusan itu untuk memberikan peruntukan sama dengan mana-mana ahli parlimen yang telah mengundi supaya Bajet 2021 diluluskan… Namun hadiah yang kami dapat…Alhamdulillah peruntukan RM100,000. Terima kasih dan bersyukur,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian pada program ‘Terus Terang’ terbitan NRCHANNELTV.NET yang dihoskan oleh Datuk Rafi Awang Kechik, di sini, malam tadi.

Menerusi program bual bicara itu juga, Ahmad Zahid terus memberi penekanan bahawa kerajaan hari ini perlu melihat secara menyeluruh kesan pandemik COVID-19 termasuklah pasca wabak berkenaan dalam usaha memastikan rakyat terus dibantu.

Tegasnya isu moratorium dan juga pengeluaran daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan terus diberikan penekanan dan selagi kedua-dua soal berkenaan tidak dipenuhi sepenuhnya pelaksanaan maka selagi itulah perkara tersebut akan terus diutarakan.

Selain itu, kata Ahmad Zahid lagi sebagai rakyat tentunya mereka di luar sana ingin melihat apakah program jangka panjang dan jangka sederhana untuk negara berdepan serta menghadapi pasca COVID-19.

“Rakyat tidak perlu lagi didendangkan dengan perkara-perkara bahawa kita adalah negara terbaik yang telah menguruskan pandemik ini tetapi hasilnya sepertimana diketahui oleh semua keadaannya berbeza dan tentulah perkara ini menjadi tanggungjawab semua malah sebagai Ahli Parlimen yang menganggotai kerajaan dan sebagai sebuah negara demokratik tentunya tidak salah melakukan ‘self criticism’ kepada diri saya atau jemaah kepimpinan di negara ini.

“Saya dapat merasai denyut nadi rakyat hari ini dan mereka berterus terang serta menceritakan perkara yang benar. Dalam keadan itu bebanan rakyat hari ini perlu dilihat secara menyeluruh.”

Terangnya, kemiskinan bandar sebagai contoh dapat dilihat sebagaimana soal pendapatan rakyat bukan hanya dalam kumpulan B40 tetapi juga M40 telah masuk kategori B40 sekarang ini.

“Kalangan mereka yang menjadikan e-hailing sebagai sumber pendapatan terjejas… begitu juga mereka yang menjadikan gerai sebagai alternatif pendapatan keluarga menghadapi masalah dan begitu juga kelompok yang lain.

“Saya menerima rungutan daripada golongan-golongan ini bahawa pendapatan mereka hilang hampir 90 peratus dan ini adalah nadi rakyat yang harus diketahui dan itulah sebabnya di dalam media sosial saya membangkitkan perkara berkenaan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.