PKP 2.0 Gagal, Harus Buat Penambahbaikan Supaya Tak Susahkan Rakyat – Shahrul Nasrun

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Exco Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berkata Pelaksanaan Perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 terbukti gagal membendung penularan COVID-19 apabila kes yang dicatatkan terus meningkat naik sehingga menghampiri paras 6,000 kes sehari.

Katanya, PKP bukan hanya perlu lebih diperketat, malah garis panduan lebih konkrik juga perlu dirangka dalam menangani COVID-19 supaya tidak menyusahkan rakyat dan juga membunuh ekonomi negara.

“Seharusnya pihak kerajaan perlu mempertimbangkan penambahbaikan pakej bantuan kepada peniaga dan keluarga yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Banyak sektor perniagaan yang dilihat menerima tekanan hebat dan berisiko tidak mampu bertahan akibat lanjutan PKP yang pastinya akan menjejaskan pendapatan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan lima penambahbaikan dibuat dari segi garis panduan PKP iaitu:

1. Zon Merah, Kuning, Jingga, Hijau perlu digariskan mengikut lokaliti lebih spesifik terus kepada daerah/mukim.

2. Sekolah perlu dibuka di kawasan/mukim yang tidak merekodkan kes dalam 14 hari.

3. Operasi perniagaan di daerah/mukim yang tidak merekodkan kes mesti diberikan kebenaran menjalankan perniagaan seperti biasa.

4. Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu membuat rondaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di lokasi yang mencatatkan kes tinggi seperti tapak pembinaan, kilang, ladang dan daerah atau mukim yang merekodkan lebih 100 kes.

5. SOP perlu diselaraskan dan ditambahbaik supaya rakyat tidak lagi keliru hal SOP. Contoh, definisi ‘tempat sesak’ dalam SOP memakai pelitup muka di tempat awam dan tidak perlu memakai jika berseorangan atau di tempat tidak sesak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.