‘CZAR’ Baharu Lawan COVID-19… Tangani Sebagai Masalah Nasional – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan sudah tiba waktunya pandemik COVID-19 tidak hanya dianggap sebagai krisis kesihatan, tetapi sebagai masalah nasional dengan setiap kementerian tidak lagi boleh bekerja secara berasingan. Kita memerlukan Czar baharu dan pendekatan baru bagi memerangi ,” tegasnya

Katanya, kita memerlukan Czar baharu dan pendekatan baharu bagi memerangi pandemik COVID-19. 

“Sudah setahun sejak pandemik COVID-19 meletus dan menghancurkan kehidupan berjuta-juta orang serta meninggalkan negara-negara dunia dalam keadaan berantakan, Malaysia dan rakyatnya tidak terkecuali.

“Menjelang Mac depan, genaplah setahun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama. Namun, keadaan tidak banyak berubah, malah lebih meruncingkan jika dibandingkan dengan permulaan PKP pertama,” ujarnya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Katanya, ratusan ribu rakyat Malaysia terpaksa bekerja sambilan untuk mengimbangi impak pemotongan gaji malah lebih banyak yang terpaksa memerah keringat dan membanting tulang untuk menampung kos kehidupan sekeluarga disebabkan lanjutan penutupan ekonomi yang lebih lama daripada yang dijangkakan untuk kerajaan membendung pandemik tersebut.

“Walaupun Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, telah melaksanakan tugas dengan luar biasa dan harus dipuji, beliau tidak harus terikat dengan isu pandemik COVID-19 sahaja. Institut dan industri kesihatan jauh lebih besar daripada wabak ini. Masalah kesihatan lain juga memerlukan perhatian yang setimpal.

“Jelasnya, pandemik ini telah melampaui batas krisis kesihatan, sebaliknya telah menjadi krisis nasional berskala penuh. Jeneral baharu dengan idea dan strategi baharu amat diperlukan untuk memimpin pasukan merentas kementerian, pelbagai jabatan, dan pelbagai agensi untuk segera bertindak balas terhadap sifat pandemik yang cepat berubah.

“Institut kesihatan dan perubatan kita nyaris kehilangan kapasiti mengatasi pandemik ini. Pelbagai hospital telah dikhaskan untuk menempatkan pesakit COVID-19 dan keupayaan negara hampir mencecah hadnya.”

Jelasnya, barisan hadapan kita penat dan letih akibat bekerja terlalu lama ‘overworked’ sekali pun tidak mendapat imbuhan setimpal ‘undercompensated’.

“Kita bakal mempertaruhkan keruntuhan institusi perubatan jika kita meneruskan perjuangan ini menggunakan pendekatan status quo tanpa sebarang rancangan yang lebih berkesan dan berkelangsungan.” 

Menurut beliau, ketahanan juga sedang diuji dan pemulihan ekonomi telah terencat, sistem pendidikan telah gagal, dan institusi kebajikan tidak dapat melindungi semua rakyat yang terdedah.

“Kita perlu mempertimbangkan reformasi institusi dan struktur yang drastik. Sememangnya, Kerajaan cuba melakukan yang terbaik, tetapi tanpa ‘Chief in Command’ yang berkelayakan untuk menyatu dan menyelaraskan usaha pelbagai pihak, semua ikhtiar tidak akan dapat menghasilkan perubahan yang berimpak besar dan lestari.

“Walaupun keadaan kini secara keseluruhannya amat suram, sesekali kita ada menerima saat-saat kegembiraan yang penuh dengan harapan. Kita telah melihat sekumpulan individu dan komuniti prihatin yang menawarkan bantuan kepada masyarakat yang lebih terdedah demi meringankan penderitaan mereka. Ikhtiar ini mengingatkan kita bahawa rakyat Malaysia memang bersatu, prihatin dan saling menyayangi antara satu sama lain.

“Namun, kita harus berhati-hati untuk tidak meluaskan kebergantungan pada usaha amal sukarela dan sebaliknya, mula membuat rancangan teliti untuk mengatasi akar permasalahan. Walaupun kerja amal untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik amat menabur inspirasi, tetapi kebergantungan masyarakat terhadap bantuan masyarakat sivil dan bukannya kerajaan adalah sesuatu yang membimbangkan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, pujian harus diberikan pada tempat yang sepatutnya. Ketua Pengarah Kesihatan telah berusaha tanpa lelah untuk mengelakkan Malaysia daripada tenggelam dalam kancah pandemik. Walaupun begitu, mutakhir ini situasi telah berkembang sehingga menjadi isu besar merentas pelbagai bidang di luar kuasa beliau.

“Apa yang kita perlukan adalah Jeneral baharu, bukan untuk menggantikan peranan Ketua Pengarah Kesihatan, tetapi yang akan mengambil alih tugas untuk memimpin usaha kolektif merentas kementerian. Jeneral baharu ini mesti dapat memberikan tumpuan khusus kepada usaha memerangi COVID-19 dan menyelaraskan tindak balas antara semua bidang termasuk kesihatan, keselamatan, kesejahteraan, dan ekonomi,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.