Perketat PKP… Sekurang-kurangnya Tiga Minggu Lagi – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan akan menyampaikan perutusan khas jam 9 malam ini.

Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO hari ini memberikan lapan cadangan kepada kerajaan berkenaan situasi semasa khususnya melibatkan pandemik COVID-19.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerajaan seharusnya memperketatkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama sekurang-kurangnya tiga minggu untuk menurunkan penularan COVID-19.

“Namun ianya harus dilaksanakan dengan pemberian beberapa pakej bantuan kepada rakyat yang tidak dapat bekerja, berniaga, tetap tanggung pelbagai komitmen dan terpaksa kekal di rumah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Berikut merupakan lapan cadangan Pemuda UMNO sekiranya PKP diperketatkan:

1. Memansuhkan segala syarat dan kriteria bagi membolehkan pengeluaran secara otomatik bagi semua kategori i-Sinar KWSP.

2. Melaksanakan kaedah serupa dengan PKP 1.0 dahulu dengan mengarahkan bank-bank dan institusi-institusi yang menawarkan pinjaman agar melanjutkan moratorium secara otomatik tanpa faedah atau caj tambahan dan tanpa perlu tertakluk kelulusan permohonan kepada bank.

3. Memberikan diskaun bil elektrik sehingga 50 peratus berdasarkan penggunaan isi rumah.

4. Menambah insentif bantuan gaji sekurang-kurangnya selama 3 bulan sebanyak RM1200 bagi setiap pekerja.

5. Menyalurkan Bantuan Tunai Khas sepanjang Lockdown kepada rakyat.

6. Membekalkan alat peranti elektronik sekurang-kurangnya Tab kepada pelajar yang memerlukan terutamanya daripada keluarga dalam senarai E-Kasih, B40, M40 yang punya anak ramai, untuk menjalani program pendidikan melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah.

7. Memperkasa dan menambah baik segera talian komunikasi di kawasan luar bandar.

8. Mewujudkan TV Pendidikan di saluran milik kerajaan dan memanfaatkan Ordinan Darurat bagi mengarahkan stesen swasta (Astro dan Media Prima) untuk mewujudkan saluran pendidikan khusus secara PERCUMA sepertimana ketetapan Kementerian Pendidikan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.