COVID-19: Ekonomi Atau Kebajikan Rakyat Penting? – Zahid

KUALA LUMPUR, 30 Jan – UMNO menggesa kerajaan untuk membuat pilihan sama ada mahu menjaga kebajikan rakyat atau menjaga ekonomi negara.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah yang tepat perlu dilakukan kerajaan memandangkan kes positif COVID-19 yang semakin membimbangkan.

“Jangan sampai dek kerana mahukan ekonomi kekal berjalan, rakyat yang terkesan. Malah, lebih buruk jika kita tersilap langkah, ekonomi kita hancur, rakyat kita sengsara.

“Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Kerajaan perlu melakukan sesuatu dengan kadar segera. Rakyat sedang menanti.

“Semalam, 29 Januari 2021, kes positif COVID-19 sekali lagi memecahkan rekod kes harian tertinggi dengan kes baru sebanyak 5,725 kes. Hal ini menjadikan jumlah kes aktif di negara kita adalah sebanyak 45,478 kes. Ini adalah satu angka yang cukup mengerikan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata trend kes baharu yang tidak menunjukkan sebarang tanda akan surut ini sudah pastinya akan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

“Bagi ibu bapa, mereka semakin risau untuk menghantar anak ke sekolah jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini ditamatkan pada 4 Februari kelak. Tambahan pula dengan terdapat beberapa kes yang melibatkan pelajar-pelajar peperiksaan utama yang telah dilaporkan sebelum ini.

“Bagi para pekerja yang sekarang ini yang berkerja dari rumah, mereka pasti akan berat hati untuk kembali bekerja, apatah lagi terdapat berpuluh kluster melibatkan tempat kerja yang aktif ketika ini,” katanya.

Beliau malah mempersoal sama ada PKP 2.0 ini gagal mencapai matlamatnya berbanding PKP 1.0 yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Adakah perlu dilaksanakan total lock down bagi suatu tempoh tertentu untuk memutuskan segala rantaian yang ada?” tegasnya.

Semalam, Selangor mencatatkan jumlah kes harian baharu COVID-19 tertinggi iaitu sebanyak 3,126 kes atau 54.6 peratus.

Ia diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 687 kes (12.0 peratus), dan Johor sebanyak 684 kes 11.9 peratus. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.