Usah Tergesa-Gesa Melonggarkan PKP – Shahrul Nasrun

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berkata rakyat Malaysia akan menjadi bimbang dan risau apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua ini dilonggarkan pada 4 Februari ini.

Katanya, keputusan memberikan kelonggaran PKP ini seolah-olah tidak menunjukan kes COVID-19 ini berkurangan malahan semakin meningkat melebihi 2,000 kes sehari.

“Tindakan pengumuman pelonggaran PKP tanggal 4 Feb nanti menimbulkan lebih banyak tanda tanya kerana seolah hanya semata-mata untuk memberi laluan kepada sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

“Ini kerana setelah dua minggu sejak PKP bermula, ia langsung tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kejayaan apabila jumlah kes penularan COVID-19 gagal diturunkan kepada bawah paras 2,000 kes sehari,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Tambah Shahrul Nasrun yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Ampang menjelaskan bahawa di Semenanjung dan Sabah ia langsung tiada daerah yang dicatatkan sebagai zon hijau.

Manakala di negeri-negeri seperti Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor pula mencatatkan zon merah di semua daerah di negeri-negeri tersebut, katanya.

“Jika PKP gagal menurunkan jumlah kes, bagaimana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilonggarkan pula boleh menurunkan kes harian COVID-19?

“Saranan saya… PKP tidak harus dilonggarkan, sebaliknya usaha membendung penularan COVID-19 harus terus diperketatkan PKP sehingga kes harian betul-betul melepasi paras 1,000 kes sehari.

“Jika tidak, sia-sia sahaja pengorbanan peniaga-peniaga kecil dan sederhana yang berkorban berminggu-minggu menanggung kerugian,” ujarnya.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan PKP di seluruh negara, kecuali Sarawak yang dijadual berakhir pada 4 Feb ini, tidak akan dilanjutkan bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.