Pemandu E-hailing Masih Terbeban… Komisen Terlalu Tinggi – Zahid

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap syarikat e-hailing dapat mendengar keluhan yang dihadapi oleh pemandu mereka yang terbeban dengan komisen sebanyak 20 peratus.

Beliau berkata kadar komisen tersebut terlalu tinggi berbanding jumlah pendapatan pemandu e-hailing yang semakin berkurang impak daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

“Kepada syarikat e-hailing, saya sekali lagi minta kurangkanlah potongan komisen dan bantulah mereka yang juga sebahagian daripada ‘frontliner’ kita.

“Kita sedar dalam situasi pengangguran yang tinggi, pekerjaan sebagai pemandu e-hailing adalah pilihan yang cepat.

“Bagaimanapun, jika penawaran lebih tinggi berbanding permintaan, maka tersadailah pemandu di tepi jalan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga turut memaklumkan beliau ada menerima rakaman video yang memaparkan luahan hati pemandu e-hailing.

“Mereka mengeluh, merayu dan berharap komisen 20 peratus diturunkan. Jika tidak kepada 10 peratus, 15 peratus sudah memadai.

“Pemandu bersusah payah seawal 8 pagi pulang lewat malam demi sesuap nasi. Ada yang meraih pendapatan kasar hanya RM68 sehari, ada yang dapat RM59. Malah ada yang cuma beroleh RM24 hingga RM38 sehari.

“Jika komisen dipotong terlalu banyak, apa yang boleh mereka bawa pulang. Harga minyak meningkat RM1.90 seliter. Merayau siang dan malam tidak kurang RM40 petrol dihabiskan,” katanya.

Baru-baru ini, Ahmad Zahid menerusi Facebooknya turut melontarkan luahan sama melibatkan kebajikan pemandu e-hailing terutama berkenaan kadar komisen yang tinggi.

Namun menurutnya, selepas 10 hari masih tiada sebarang tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah berkenaan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.