Kerajaan Perlu Kawal Harga Saringan COVID-19 Di Pusat Perubatan Swasta – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa kerajaan mengawal harga ujian saringan COVID-19 di pusat perubatan swasta.

Ini kerana kata Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, terdapat pelbagai harga untuk ujian COVID-19 di klinik atau hospital swasta dan berharap jangan dibiarkan tanpa kawalan.

“Ada yang sederhana, ada yang tinggi. Dalam masa darurat ini kenalah bertoleransi dengan rakyat.

“Dalam masa seminggu saya kena ‘test’ dua kali. Ok boleh bayar. Tapi ramai rakyat yang kurang/tidak mampu,” ciap Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu di Twitter.

Selain di pusat perubatan milik kerajaan, hanya klinik dan hospital swasta yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja boleh menyediakan kemudahan serta perkhidmatan saringan COVID-19.

Walaupun begitu, terdapat perbezaan harga yang ketara antara satu sama lain, dalam lingkungan harga RM200 hingga ke RM700 untuk sekali ujian.

Sebagai rekod, berdasarkan maklumat dari laman web COVID-19 Malaysia KKM, covid-19.moh.gov.my, terdapat tiga jenis ujian COVID-19 yang dijalankan iaitu:

1. Rt-PCR: Rt-PCR atau dikenali sebagai ‘Reverse transcriptase Polymerase Chain Reaction’: ujian pengesahan yang digunakan oleh KKM untuk mengesahkan jangkitan virus COVID-19 pada individu yang disyaki.

2. RTK Ag: Keputusan ujian menggunakan RTK Ag lebih cepat berbanding Rt-PCR. RTK Ag mempunyai tahap sensitiviti 90% dan spesifisiti 100%. Disebabkan itu, RTK Ag boleh digunakan sebagai kaedah alternatif untuk ujian COVID-19. Walau bagaimanapun, RTKAg hanya diguna pakai di Malaysia untuk ujian pengesanan COVID-19 sahaja manakala Rt-PCR untuk ujian pengesahan.

3. RTK Ab: Ujian RTK Ab tidak digunakan untuk pengesanan awal virus COVID-19. Ia sesuai diambil pada hari ke-13 oleh individu dikuarantin kerana pada masa ini sistem imun dalam badan seseorang itu akan menghasilkan antibodi apabila terdedah kepada virus. Ujian RTK Ab ini bertujuan untuk mengesan antibodi COVID-19 dalam badan. Hal ini kerana respon antibodi mengambil masa 5 hingga 7 hari untuk terhasil. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.