COVID -19: Setahun Yang Cukup Mencabar, Mencegah Lebih Baik Dari Merawat – Sharkar

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Walaupun vaksin dijangka akan diberikan pada fasa pertama 2021, kita masih perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan bukankah mencegah lebih baik daripada merawat.

Justeru Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin mengajak seluruh rakyat agar terus mengambi langkah pencegahan dengan mengamalkan SOP selain menekankan agar kerajaan mengambil langkah proaktif dalam mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 menjadi lebih parah.

“Marilah bersama-sama kita mencegah sebelum ia lebih parah. Semua ini perlu dilakukan demi keselamatan dan kesihatan rakyat di negara ini.

“Di pihak kerajaan pula, kepentingan rakyat perlu menjadi keutamaan yang mengatasi segalanya dalam tindakan kerajaan berhubung penyebaran COVID-19 bagi mengelak situasi lebih parah berlaku.

“Langkah yang tegas penting untuk mengelakkan penyesalan yang terlambat. Jangan nanti apabila sudah terhantuk baru terngadah,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Sharkar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO seterusnya mengimbau penekanannya sebelum ini ketika pandemik berkenaan menular di China.

“Setahun lalu sewaktu penularan COVID-19 ini mula dilaporkan berlaku di Wuhan, China, saya telah menekankan supaya aspek pencegahan diutamakan bagi memastikan wabak itu tidak menular di Malaysia.

“Penekanan itu dibuat selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada waktu tersebut telah mewartakan dua perintah memberikan pengecualian visa selama 15 hari kepada pelancong dari China dan India dari 1 Januari ke 31 Disember 2020.

“Saya nyatakan pada waktu itu (rujuk FB saya tulisan bertajuk KORONAVIRUS: UTAMAKAN RAKYAT pada 25 Januari 2020), negara pastinya akan mudah terdedah kepada ancaman penyakit berjangkit antarabangsa selagi kita membuka pintu masuk negara kepada pelancong dan pekerja asing,” ujarnya.

Bagaimanapun, ujarnya lagi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada waktu itu, Datuk Mohamaddin Ketapi telah menjelaskan bahawa pelancong yang masuk ke negara ini akan disaring terlebih dahulu di pintu masuk negara, termasuk lapangan terbang.

“Pada 25 Januari 2020, Menteri Kesihatan (ketika itu) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sahkan kes pertama COVID-19 babitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari.

“Selepas daripada jangkitan pertama dalam negara itu, jangkitan COVID-19 terus menular secara perlahan dalam negara sehinggalah menyaksikan berlaku perubahan dalam pimpinan kerajaan apabila tumbangnya kerajaan PH pada 24 Februari 2020.

“Setelah diambil alih oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri pada 16 Mac 2020 mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

“Daripada bermulanya dua minggu, PKP terus dilanjutkan oleh kerajaan sehingga selama sebulan sekali gus menyaksikan keluk penularan pandemik COVID-19 berjaya diturunkan,” tambahnya.

Dalam tempoh PKP dilaksanakan, katanya tahap pematuhan rakyat kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan adalah sehingga 99 peratus.

“Ianya membuktikan bahawa rakyat Malaysia telah pun mengadaptasi dan menyesuaikan diri mereka dengan PKP pada waktu itu walaupun sukar pada mulanya. Rakyat sewaktu PKP dilaksanakan berhadapan dengan situasi sangat berbeza berbanding sebelumnya dan termaktub dalam SOP Kementerian Kesihatan.

“Ia memang satu perubahan drastik, namun rakyat berlapang dada dan menerima situasi ini kerana ia bukan saja membabitkan nyawa seseorang, malah kita bertanggungjawab memutuskan semua rantaian COVID-19 dalam semua komuniti,” ujarnya.

Jelasnya lagi sewaktu negara dilihat seolah-olah akan berjaya memutuskan rantaian pandemik COVID-19, namun wabak ini kembali menular bermula daripada jangkitan dalam kalangan bukan warganegara dan kini hampir 100 peratus jangkitan tempatan.

Atas faktor meningkatnya penularan pandemik itu, kerajaan PN katanya lagi memutuskan melaksanakan darurat dan selepas itu PKP 2.0 seluruh negara kecuali Sarawak malah kes yang meningkat pada setiap hari masih mengekalkan empat angka dan peningkatan kes menyebabkan sistem kesihatan tertekan apabila hospital penuh dan katil-katil tidak mencukupi.

“Sehingga 22 Januari 2021, jumlah kumulatif kes baharu adalah 176,180 kes membabitkan 660 kematian. Adakah kita tidak mahu melihat angka kes menurun kepada satu atau dua angka seperti beberapa bulan yang lepas,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.