Jangan Lagi ‘Flip-Flop’, Fikirkan Rakyat Yang Sedang Berdepan Cabaran – Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Puteri UMNO hari ini melahirkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan Kementerian Pendidikan yang dianggap menimbulkan kesukaran terutama melibatkan sesi pembukaan sekolah.

Ketuanya Datuk Zahida Zarik Khan berkata berdasarkan kepada apa yang berlaku sebelum ini umumnya masing-masing telah membeli keperluan sekolah dan sebagainya berasaskan keputusan yang dikeluarkan oleh pihak kementerian.

“Pada 11 Januari 2021 kerajaan mengumumkan bahawa persekolahan akan dibuka 20 Januari 2021. Maka sibuklah ibu bapa membeli peralatan sekolah dan penyediaan-penyediaan lain untuk anak-anak mereka di dalam keperitan hidup terutama golongan B40 dan M40.

“Setelah PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) diumumkan pada 11 Januari, kementerian menegaskan sekolah tetap dibuka seperti dijadualkan dengan mematuhi SOP (prosedur operasi standard), maka lebih rancak ibubapa membeli penyediaan persekolahan, walaupun di sesetengah kawasan, banjir belum reda.

“Mereka perlu juga membeli peralatan rumah yang telah rosak akibat banjir. Tiba-tiba sebelum sekolah bermula, kementerian sekali lagi mengumumkan penangguhan persekolahan kecuali mereka yang akan mengambil peperiksaan diperlukan mengikuti kelas secara bersemuka. Yang lain-lainnya disarankan mengikuti kelas secara atas talian,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Tegas Zahida ramai ibu bapa meluahkan mereka tidak senang dengan keputusan ‘saat akhir’ yang diumumkan.

“Apa dah jadi? Mengapa membuat ‘flip-flop’ dalam masa yang singkat… Bagi golongan B40 dan M40, keputusan ini sangat menyusahkan selepas ibu bapa sudah beli barangan sekolah, bayar yuran, beli baju sekolah, kelengkapan dan macam-macam lagi walau ketika menghadapi PKP, ekonomi yang tidak menentu dan mengharungi bencana alam,” ujarnya.

Beliau seterusnya menyeru pihak berkenaan agar fikirlah semasak-masaknya sebelum membuat arahan yang melibatkan rakyat terutama golongan B40 dan M40.

Katanya menteri-menteri tidak akan faham kesengsaraan mereka, tetapi sekurang-kurangnya faktor ini harus diambil kira sebelum membuat sebarang keputusan.

“Anak-anak kita sudahlah tidak dapat pembelajaran dengan sempurna ketika ini, kita faham, tapi janganlah menambah lagi kesengsaraan rakyat,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.