Isu Cabaran Proklamasi Dan Ordinan Darurat Ke Mahkamah

BARU-BARU ini telahpun dilaporkan di dalam media massa bahawa terdapat pihak-pihak tertentu yang ingin mencabar Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada 11.1.2021 (‘proklamasi darurat tersebut’) di Mahkamah. Semalam, terdapat juga laporan media yang melaporkan berkenaan tindakan undang-undang yang telah difailkan bagi tujuan mencabar nasihat Perdana Menteri kepada YDPA untuk mengisytiharkan darurat tersebut.

Pada asasnya, sekiranya kita lihat kepada Proklamasi Darurat oleh YDPA di bawah Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan, YDPA telahpun menyatakan bahawa YDPA berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku seakibat penyakit berjangkit, iaitu COVID-19, dan atas dasar itu, YDPA telahpun mengeluarkan proklamasi darurat tersebut. Susulan Proklamasi Darurat tersebut, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 telahpun dimasyurkan di bawah Perkara 150 (2B) oleh YDPA atas dasar yang sama (‘Ordinan tersebut’).

Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah seperti berikut:

Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan adalah seperti berikut:

Jika pada bila-bila masa semasa suatu Proklamasi Darurat sedang berkuat kuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen sedang bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apaapa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan.

Pertamanya, adalah jelas bahawa perkataan ‘berpuas hati’ dan ‘boleh’ di dalam Perkara 150 (1) dan 150 (2B) tersebut memberi maksud bahawa YDPA mempunyai budi bicara dalam membuat sesuatu proklamasi darurat. Perlu ditekankan di sini bahawa tiada dinyatakan dalam mana-mana peruntukan di bawah Perkara 150 bahawa YDPA wajib bertindak di atas nasihat Kabinet ataupun Perdana Menteri dalam membuat apa-apa proklamasi darurat/ordinan darurat. Perkara ini juga adalah jelas apabila YDPA menolak nasihat kerajaan bagi satu proklamasi darurat pada tahun lepas.

Saya berpandangan bahawa kebijaksanaan, budi bicara, kewajaran (‘reasonableness’) dan proportionality keputusan YDPA dalam membuat proklamasi darurat tersebut dan ordinan tersebut tidak boleh sama sekali dipersoal di mana-mana Mahkamah di atas apa-apa dasar sekalipun. Ini adalah sepertimana yang diperuntukkan dengan jelas di bawah Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya pandangan beberapa pihak bahawa YDPA tidak mempunyai budi bicara dan adalah terikat dengan nasihat Kabinet/Perdana Menteri dalam membuat proklamasi darurat tersebut/ordinan tersebut di bawah Perkara 150 adalah tepat sekalipun, yang mana adalah dinafikan, nasihat tersebut juga tidak boleh dipersoalkan atau dicabar di mana-mana Mahkamah.

Ini secara jelasnya diperuntukkan di bawah Perkara 150 (8) yang menyatakan seperti berikut:

Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini-

(a) hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan

(b) tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apaapa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan-

(i) sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1);
(ii) kuat kuasa berterusan Proklamasi itu;
(iii) mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B); atau
(iv) penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu.

Saya berpandangan sedemikian kerana sebarang cabaran terhadap nasihat yang diberikan oleh Kabinet/Perdana Menteri kepada YDPA tersebut secara efektifnya dan secara tidak langsung adalah suatu cabaran terhadap kesahihan Proklamasi Darurat tersebut dan Ordinan tersebut. Ini sudah semestinya tidak dibenarkan oleh peruntukan Perlembagaan Perseketuan iaitu suatu ‘ouster clause’ di bawah Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan (‘ouster clause tersebut’).

Mahkamah hanya mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan tindakan undang-undang bagi mencabar nasihat yang diberikan oleh Kabinet/PM kepada YDPA sekiranya ouster clause tersebut didapati tidak sah (‘void’) oleh Mahkamah. Dari sudut undang-undang, ouster clause tersebut adalah sah dan berperlembagaan dan sebarang tindakan yang bercanggah dengan ouster clause tersebut tidak boleh berdiri di sisi undang-undang.

Saya berpandangan bahawa ouster clause tersebut adalah konsisten dengan prinsip separation of powers di mana institusi Kehakiman adalah dihalang daripada mencampur tangan dalam sebarang tindakan Eksekutif yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Institusi Kehakiman sememangnya adalah institusi yang bebas dan hanya mempunyai bidangkuasa sepertimana yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Sekiranya segala nasihat Eksekutif terutamanya nasihat-nasihat Kabinet yang diberikan (di bawah Perlembagaan Persekutuan) (termasuk kewajaran (‘reasonableness’) dan proportionality nasihat tersebut) boleh dicabar dan dipersoal di Mahkamah, Eksekutif atau sesebuah Kerajaan tidak boleh berfungsi dengan baik dalam mentadbir Negara ini. Ini juga akan menyebabkan satu situasi ‘floodgate’ di mana cabaran terhadap setiap nasihat Eksekutif di bawah Perlembagaan Persekutuan boleh dibawa dan dipersoalkan di Mahkamah. Perkara ini perlu diberikan perhatian memandangkan ianya boleh menetapkan satu ‘precedent’ yang tidak konsisten dengan prinsip separation of powers.

Prinsip ‘Rule of Law’ (yang mesti ditegakkan) juga termasuk menghormati undang-undang yang sedia ada pada setiap masa material dan bertindak mengikuti undang-undang yang sedia ada.

Akhir kata, saya berpandangan bahawa segala tindakan oleh mana-mana pihak untuk mencabar Proklamasi Darurat serta Ordinan Darurat ke Mahkamah adalah satu tindakan yang tidak wajar atas prinsip separation of powers. Pihak ini seharusnya memahami terlebih dahulu tujuan undang-undang Darurat wujud serta yang paling penting sekali adalah pada waktu dan ketika ini sebarang tindakan dengan tujuan bersifat politik semata-mata harus dihentikan demi memberikan fokus dan kerjasama sepenuhnya kepada YDPA dan Kerajaan agar negara kita dapat menghadapi gelombang pandemik COVID-19 yang amat membimbangkan ini dengan baik. – UMNO ONLINE

Muhamad Nur Aizat Noor Azam
EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
20 Januari 2020

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.