PERMAI Masih Kurang Aspirasi Bantu Rakyat, Tidak Bersifat ‘Contingency’ – Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Semalam, kerajaan telah mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bagi mengurangkan beban dihadapi rakyat dan ketahanan ekonomi ketika negara sedang berdepan penularan pandemik COVID-19.

Dalam hal ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kesyukuran kerana pengumuman yang dibuat selepas enam hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. tidak terlalu cepat tetapi ada kerana sebagai sebuah kerajaan tidak boleh minta rakyat ikat perut dan bersikap kedekut atau tuduh rakyat malas.

“Segala bantuan diumumkan untuk rakyat kita sokong penuh kerana ia sememangnya kebertanggungjawaban sesebuah kerajaan.

“Kerajaan sememangnya patut berbelanja untuk rakyat. Lebih-lebih lagi pada waktu PKP program bakul makanan jauh lebih penting berbanding projek dewan badminton.

“Bagaimanapun PERMAI masih kurang aspirasi dalam membantu rakyat supaya kekal tenang di rumah sekali gus mengurangkan kadar jangkitan COVID-19 yang sangat tinggi ketika ini,” katanya dalam kenyataan di facebooknya, hari ini.

Ujar Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), rakyat bersyukur dengan bantuan tunai, tetapi sebahagian yang diumumkan semalam adalah yang pernah diumumkan sebelum ini – cuma akan dipercepatkan.

“Ini tidak bersifat ‘contingency’ atau suatu tambahan tunai dalam membantu mereka berhadapan kesukaran PKP 2.0.

“Berapa lama bantuan bakul makanan bernilai RM100 dan bantuan wang RM300 boleh membantu rakyat untuk terus bertahan dan kekal di rumah?

“Semasa PKP 1.0 kita mengambil masa lebih lima bulan untuk mengurangkan kadar jangkitan yang cuma beberapa ratus kes.”

Soalnya lagi, berapa lama pula agaknya untuk PKP 2.0 mengurangkan kadar jangkitan yang melebihi 3,000 kes setiap hari?

“Apatah lagi PKP 2.0 agak longgar dan lebih banyak aktiviti dibenarkan termasuk Taman Awam di Wilayah Persekutuan dibuka semula kepada orang ramai.

“Ketua Pengarah Kesihatan memaklumkan negara memerlukan sekurang-kurangnya empat minggu untuk mengurangkan kes jangkitan Covid-19 harian antara 1,000 kepada 500 sehari.

“Kita menyambut baik KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga 1,000 ringgit bagi permohonan kemudahan i-Sinar Kategori 2.”

Namun katanya, pembayaran ini akan dibuat pada 26 Januari iaitu pada fasa pertama PKP 2.0 berakhir sedangkan rakyat memerlukan wang itu sekarang iaitu semasa mereka diarah mengurangkan pergerakan.

“Bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman diumumkan akan terus disediakan tetapi kita mendengar rungutan mengenainya sebelum ini.

Kesulitan untuk mendapatkan moratorium satu hal. Tawaran pengurangan bayaran balik pula didakwa lebih menguntungkan bank berbanding peminjam. Mungkin sebab itu cuma kira-kira 1.3 juta permohonan yang diterima oleh pihak bank setakat ini.

“Apapun kita memahami beban kewangan kerajaan untuk memberi bantuan yang lebih besar kepada rakyat.”

Sebab itu, tegasnya, kita terus mendesak kelulusan moratorium bayaran pinjaman bank secara automatik kerana kita percaya bank masih mampu mencatatkan keuntungan disebalik kebertanggungjawaban sosial itu.

“Sebab itu kita terus mendesak kelulusan skim i-Sinar KWSP tanpa syarat dan bayaran dibuat pada kadar segera kerana wang itu adalah milik rakyat sendiri yang sangat-sangat diperlukan mereka ketika ini,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.