Rapatkan Jurang Digital Supaya Tiada Pelajar Tercicir Dari Pembelajaran

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Pemuda UMNO Negeri Sembilan berpandangan selain ekonomi serta kewangan rakyat, kerajaan hari ini juga disaran agar memberi tumpuan kepada pembelajaran anak-anak-anak yang terjejas kerana cuti yang terlalu lama dan kali ini terpaksa ditangguhkan lagi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan beberapa hari yang lalu.

Ketuanya, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata bagi mengatasi masalah itu, Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan inisiatif dengan memanfaatkan perkembangan teknologi termasuklah mengadakan kelas secara maya atau atas talian dengan memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Ini merupakan satu inisiatif yang baik dan wajar dipuji. Persoalannya adakah kita mempunyai kemudahan yang cukup untuk memastikan setiap pelajar sekolah tidak ketinggalan di dalam pembelajaran mereka. Kita tidak mahu ada yang tercicir ketika kita semua ghairah mengamalkan norma baharu di dalam sistem pendidikan.

“Bukan semua pelajar sekolah datangnya dari keluarga yang serba mampu. Mampu bukan sahaja daripada akses internet, tetapi juga peralatan komputer yang membolehkan mereka menghadiri kelas pembelajaran tanpa terlepas satu sesi sekali pun. Terutamanya, mereka yang berada di luar bandar, mereka ini perlu diberi perhatian.

“Justeru, demi masa depan anak-anak kita, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan menggesa kerajaan supaya mengambil perhatian kepada isu ini. Kemudahan digital perlu dipertingkatkan secara agresif di seluruh negara. Pembangunan kemudahan akses internet perlu mendapat perhatian segera supaya setiap rakyat mendapat pendidikan terbaik secara saksama di dalam era norma baharu ini,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau.

Selain daripada akses internet, Zaidi seterusnya menambah kerajaan juga harus mengambil tindakan segera untuk memastikan setiap pelajar mempunyai komputer untuk membolehkan mereka menghadiri pembelajaran secara maya.

Tambahnya lagi, menerusi data Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri, kira-kira 1.7 juta pelajar di seluruh negara tidak mempunyai peralatan komputer yang sesuai dan lebih membimbangkan, kebanyakkan mereka ini adalah di kalangan keluarga yang tergolong di dalam golongan B40.

“Maka, ambillah perhatian segera. Gunakanlah dana kerajaan atau mohonlah kerjasama daripada syarikat-syarikat milik Kerajaan (GLC) supaya semua pihak dapat membantu memastikan setiap pelajar memiliki sebuah komputer demi kemudahan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jempol turut menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan Malaysia yang memperkenalkan sistem e-book menerusi kerjasama dengan Perbadanan Kota Buku.

Bagaimanapun, katanya usaha ini hanyalah menjadi indah khabar dari rupa sekiranya masih ramai pelajar tidak mempunyai akses kepada internet dan kemudahan komputer yang sepatutnya dan lebih malang, walaupun isu jurang digital dan kekurangan kemudahan komputer di kalangan pelajar sekolah telah berbulan dibangkitkan sejak awal tahun lepas, namun hingga hari ini tidak ada usaha secara agresif daripada Kerajaan Persekutuan lebih-lebih lagi dari kementerian yang terlibat.

“Mereka hanya diam seribu bahasa dan seolah-olah membiarkan sahaja rakyat yang memikirkan masalah ini. Oleh itu, sekali lagi diulangi bahawa jurang digital dan keperluan pelajar sekolah memiliki komputer perlu diberikan perhatian segera.

“Inisiatif pengenalan e-Book juga wajar diperluaskan. Kerana kita tidak mahu ada yang tercicir daripada pembelajaran. Memastikan setiap rakyat mendapat ilmu yang baik itu adalah penting. Kerana kami berpegang kepada prinsip bahawa hebatnya sesebuah negara itu jika rakyatnya berilmu dan berpengetahuan tinggi,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.