Mangsa Banjir Rindukan Bantuan Dapur, Tilam, ‘Rice Cooker’, Peti Ais Seperti Zaman BN

TEMERLOH, 14 Jan – Mangsa-mangsa banjir yang melalui pasca pemindahan selepas kediaman mereka dilanda musibah melahirkan kerinduan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) lantaran keprihatinan yang dilaksana termasuklah memberikan barangan keperluan asas seperti dapur, tilam, peti ais, periuk nasi dan pelbagai lagi kepada rakyat yang terlibat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, setiap kali beliau turun bertemu dengan mangsa-mangsa banjir, soalan yang diajukan ialah bantuan dari kerajaan Pusat sebagaimana pernah mereka peroleh ketika berdepan bencana yang sama.

“Ramai yang tanya adakah mereka akan dapat lagi bantuan dapur, tilam, ‘rice cooker’, peti ais dan sebagainya seperti mana pada zaman BN berkerajaan kerana kelazimannya bantuan barangan keperluan asas untuk rumah yang musnah akan dilaksana oleh BN dengan kadar yang segera.

“Setakat ini mangsa-mangsa banjir tidak berdepan dengan masalah soal makanan kerana ianya sentiasa mencukupi tetapi mereka ini melalui fasa kehilangan dan kemusnahan harta benda dan mengharapkan kerajaan Pusat menghulurkan bantuan sebagaimana yang pernah dilakukan zaman pentadbiran BN,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, sememangnya rakyat sangat-sangat rindukan bantuan dari Kerajaan Pusat lantaran telah menjadi kebiasaan kepada mereka semasa pentadbiran BN dahulu.

Dilaporkan, pada tahun 2014, BN selaku kerajaan Persekutuan telah mencatat sejarah apabila memberi bantuan banjir berupa televisyen, peti sejuk, dapur, tilam dan bantal bernilai RM5,000 disumbangkan kepada setiap keluarga mangsa selain bantuan wang tunai.

Dalam masa yang sama, Sharkar berkata walaupun keadaan banjir yang melanda Pahang telah pulih namun masih ada beberapa tempat yang digenangi air dan mangsa banjir terpaksa terus tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kediaman mereka masih belum boleh didiami.

“Keadaan banjir yang berlaku kali ini sangat teruk dan sebelum mangsa pulang ke kediaman, rumah yang mereka ada mestilah terlebih dahulu dibersihkan dan mempunyai barangan kelengkapan asas.

“Namun demikian, dengan keadaan sekarang iaitu COVID-19 dan darurat pula, pelbagai kekangan berlaku yang menyukarkan rakan-rakan di negeri-negeri lain untuk membantu melakukan pembersihan di kawasan-kawasan pasca banjir.

“Maka, saya mohon agar pihak berkuasa dapat memberi kelonggaran kepada mereka yang mahu datang untuk membantu mangsa banjir kerana saya difahamkan penguatkuasaan agak ketat meskipun bagi negeri yang dikenakan PKPP seperti Perlis tetapi kerana laluannya akan merentasi negeri PKPB dan PKP… tidak boleh.”


Terang Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, dengan banjir besar yang berlaku sebelum ini, tentulah sukar bagi warga tempatan untuk melaksanakan pembersihan tanpa bantuan dari pihak lain.

“Memang ada kumpulan NGO dan rakan-rakan yang turun padang datang membantu melakukan pembersihan, kami ucapkan berbanyak terima kasih serta menghargai usaha yang dibuat tetapi dengan keadaan semasa, pelaksanaan pembersihan ini masih lagi perlu dilakukan kerana bukan hanya rumah yang berlumpur tetapi pelbagai barangan dan peralatan di dalam dan di luar rumah juga perlu dibasuh satu persatu,” katanya lagi.

Menurut laporan, keadaan banjir di tiga buah negeri iaitu Sabah, Johor dan Kelantan semakin pulih dengan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan berkurangan, sementara keadaan di Pahang tidak banyak berubah akibat banjir termenung disebabkan limpahan air sungai Pahang.

Di Pahang, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan seramai 11,422 orang daripada 3,044 keluarga masih berada di 126 PPS di lapan daerah setakat pagi ini.

Pekan kini merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,290 orang diikuti Temerloh (3,140 orang), Maran (2,066 orang), Bera (1,610 orang) dan Kuantan (841 orang). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.