Bajet Sudah Diluluskan, Darurat Sudah Diperkenankan… Wajar Dipermudahkan i-Sinar KWSP

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa kerajaan untuk menyegera dan mempermudahkan skim i-Sinar yang melibatkan pengeluaran dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Bajet sudah diluluskan; darurat sudah diperkenankan; maka wajarlah jika disegera DAN dipermudahkan pula BPN, i-Sinar KWSP tanpa Syarat dan Lanjutan Moratorium!”

Demikian tulis beliau menerusi laman facebooknya berkaitan isu terbabit yang masih berlanjutan sejak penghujung tahun lalu.

Katanya, jangan lupa bahawa hasil suara rakyat yang berterusan jugalah Kerajaan beberapa kali mengubah pendirian mereka dalam isu KWSP.

“Awalnya tak boleh keluarkan langsung. Justeru, jangan mudah putus asa. Jangan juga katakan bahawa tiada langsung hasil perjuangan kita semua termasuk Pemuda UMNO,” katanya yang telah memperjuangkan isu tersebut secara konsisten malah Pemuda UMNO juga telah menubuhkan Sekretariat Khas bagi mengumpul luahan hati rakyat.

Dilaporkan, KWSP telah memperkenalkan kemudahan akses simpanan Akaun 1, i-Sinar dengan permohonan boleh dilakukan mulai 21 Dis lalu dan hari ini keputusan permohonan boleh disemak untuk mengetahui sama ada permohonan diluluskan ataupun sebaliknya.

Terdahulu, KWSP memaklumkan i-Sinar akan memberi manfaat kepada ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan bersandarkan kepada beberapa kategori dan syarat seperti bagi ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 1 bawah RM90,000 dan melebihi amaun tersebut.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) menggesa kerajaan Persekutuan agar pembayaran sekaligus diberikan kepada pencarum KWSP berbanding secara berperingkat dan melanjutkan moratorium secara automatik secara pukal sehingga Jun tahun 2021 bagi membantu rakyat mendepani kesukaran hidup akibat pandemik COVID-19. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.