UMNO Mahu Mandat Rakyat Tapi Bergantung Situasi COVID-19… Keliru Dengan PN – Noh Omar

TANJUNG KARANG, 11 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) Tan Sri Noh Omar menjelaskan tuduhan terhadap UMNO hendak mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dengan tergesa-gesa tanpa menghiraukan keadaan rakyat adalah tidak benar.

Jelas beliau, memang UMNO dari awal lagi mahukan mandat dikembalikan kepada rakyat tetapi ini semua bergantung kepada situasi semasa iaitu COVID-19.

“Ramai orang menuduh mengatakan bahawa UMNO ini tak sabar-sabar mengadakan pilihan raya di waktu COVID-19 dan banjir. Memang UMNO buat keputusan untuk mempercepatkan pilihan raya tetapi tertakluk dan bergantung kepada keadaan COVID-19.

“Perkara ini juga tidak boleh dinafikan dan bukan UMNO saja yang mahu kerana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassintelah bertemu ahli-ahli Parlimen pada hari terakhir sidang di Dewan Rakyat dan menyatakan perkara yang sama iaitu hendak memberi mandat kepada rakyat supaya dipercepatkan PRU.

“Kalau boleh beliau nak buat yang cepat pilihan raya dan nak bagi mandat balik kepada rakyat tetapi tertakluk kepada keadaan COVID-19. Jelas perkara ini… jadi jangan salah faham bahawa hanya UMNO hendakkan pilihan raya secepat mungkin tetapi ia tertakluk kepada COVID-19,” katanya kepada UMNO Online. 

Dalam pada itu Noh yang juga Pengerusi UMNO Negeri Selangor turut menjelaskan sekiranya UMNO hendak menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional (PN) ianya harus ditentukan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan diadakan akhir Januari ini.

“Kita telah maklumkan bahawa kita akan putuskan dalam mesyuarat Perhimpunan Agung UMNO. Jadi… bermakna kita akan tunggu keputusan daripada PAU, bila masa yang sesuai UMNO tarik diri … tunggulah… apa yang diputuskan oleh PAU. Kalau ada yang mengatakan bahawa UMNO akan tarik diri serta-merta itu tak betul.

“Sebagai ahli-ahli Parlimen kita telah buktikan mempertahankan kerajaan PN beberapa kali  menerusi undi di dalam Dewan Rakyat. Kita jujur dan ikhlas dan kita berjaya mempertahankan kerajaan PN walaupun menang dua undi, empat undi, tiga undi. Kita tak lari dari prinsip kita mempertahankan kerajaan PN. Tunggu sehingga Parlimen dibubarkan… bagi saya tunggu PRU ke 15,” ujarnya.

Sementara itu Noh melahirkan rasa keliru dan hairan bagaimana sebuah kerajaan yang baru wujud boleh didaftarkan sebagai parti dengan segera.

“Saya pun rasa keliru mengapa PN didaftarkan sebagai parti sedangkan PN adalah kerajaan. Kerajaan PN ini mengandungi berbagai-bagai parti. Ia ada Bersatu, BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dari Sabah.

“Mengapa pula tubuh parti baru iaitu PN? Yang daftar di bawah PN hanya empat parti, Sarawak dan BN tidak masuk dalam PN… jadi di sini harus ada kekeliruan. Bagi saya PN itu kerajaan. Kalau nak tubuh satu gabungan parti baru mengapa mesti gunakan nama PN?” soalnya.

Sepatutnya, kata beliau, mereka wajar ikut langkah UMNO dan PAS yang menggunakan nama Muafakat Nasional.

“Mungkin ia boleh guna gabungan Nasional atau apa-apa pun tetapi apabila dicampurkan dengan nama PN sebagai kerajaan dan parti yang berdaftar dengan ROS adalah mengelirukan kerana PN pada asasnya yang menubuhkan kerajaan PN adalah iaitu mempunyai lebih dari empat parti sedangkan PN sebagai parti hanya ada empat kompenan di dalamnya.

“Saya di sini jadi ahli Parlimen apa? Ahli Parlimen PN atau BN? Saya pun tak tahu saya ni ahli Parlimen PN atau BN.

“Sepatutnya kalau macam itu saya nak cadang kita namakan kerajaan ini kerajaan gabungan. Kerajaan PN, BN, GPRS dan GRS, empat-empat parti dan sebut sekali kerajaan gabungan supaya ia lebih jelas,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.