MAHB Buat Perincian Panjangkan Landasan Kapal Terbang Pangkor

LUMUT, 10 Jan – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang membuat perincian termasuk dari aspek kos bagi memanjangkan landasan Lapangan Terbang Pangkor di Teluk Dalam, Pulau Pangkor agar ia boleh beroperasi semula.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pemanjangan landasan itu dibuat kerana pihaknya bersama kerajaan sedang mengkaji jenis kapal terbang yang sesuai menggunakan kemudahan tersebut.

“Kalau sekiranya kapal terbang yang digunakan adalah dari jenis ATR 72 yang boleh memuatkan 70 penumpang, makanya kita perlu memanjangkan sedikit landasan di Pangkor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Ceria Kembali ke Sekolah #MYAirportCARES dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor di Dewan Komuniti Fasa 2G di sini, hari ini.

Lapangan Terbang Pangkor dibuka sejak 1993 dengan landasan sepanjang 732 meter sebelum memberhentikan operasi pada Februari 2014 dan telah dijadual dibuka semula pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, operasi semula itu ditunda berikutan pesawat yang dijadualkan mendarat masih menunggu untuk pemeriksaan keselamatan dan teknikal landasan.

Ditanya mengenai persiapan MAHB terhadap sebarang tindakan yang bakal dilaksanakan berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19, Zambry yang juga ADUN Pangkor berkata pihaknya sentiasa bersedia lebih-lebih lagi lapangan terbang merupakan pintu negara.

“Kita perlu berbincang secara berterusan dengan Majlis Keselamatan Negara agar pintu lapangan terbang sentiasa dikawal dengan sebaiknya bagi memastikan sebarang kemungkinan jangkitan COVID-19 di lapangan terbang dapat dielakkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Syukrie Mohd Salleh berkata ketika ini jumlah trafik penumpang di seluruh lapangan terbang adalah 30 sehingga 40 peratus dan sekiranya sekatan perjalanan dilaksanakan semula ia mungkin berkurangan pada kadar 10 hingga 15 peratus.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak risau jika berada di lapangan terbang untuk melakukan perjalanan udara kerana pihaknya sentiasa mengambil langkah pencegahan COVID-19.

Pada majlis hari ini, seramai 925 pelajar kurang berkemampuan dari beberapa kawasan sekitar Parlimen Lumut menerima sumbangan berupa kelengkapan persekolahan yang secara keseluruhannya bernilai RM125,000.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MAHB tersebut bertujuan memberi sokongan kepada komuniti di sekitar kawasan lapangan terbang, terutama bagi yang terkesan akibat pandemik COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.