Melaka Saran Projek Pembangunan Baharu Dilengkapi Kemudahan Internet

ALOR GAJAH, 9 Jan – Kerajaan negeri Melaka menyarankan agar semua projek pembangunan baharu di negeri ini dilengkapi dengan kemudahan internet bagi memudahkan medium komunikasi dan urusan kehidupan harian rakyat.

Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali berkata kemudahan internet bukan sahaja akan memberi banyak manfaat kepada rakyat, malah ia menjadi satu keperluan pada masa kini bagi melakukan pelbagai aktiviti termasuk pendidikan, sosial, perniagaan dan pekerjaan.

“Kita mempunyai pelan khas untuk memastikan infrastruktur jaringan internet bagi semua projek pembangunan yang dilaksanakan dibangunkan secara bersama.

“Kita mahu mewujudkan infrastruktur berkenaan supaya apabila siap sahaja sesuatu projek pembangunan, keperluan asas seperti kabel untuk jaringan internet telah sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Surau Haji Husin dan Bengkel Pemprosesan Makanan Industri Asas Tani di Kampung Seri Tanjung, di sini, hari ini.

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Telekom Malaysia (TM) akan membimbing kerajaan negeri dan pemaju bagi pelaksanaan kemudahan tersebut.

Katanya, MCMC turut dilantik sebagai panel penasihat bagi memastikan pembangunan infrastruktur itu selaras dengan pembangunan koridor ekonomi baharu dan pelaburan berimpak tinggi Melaka Waterfront Economic Zone (M-Wez). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.