Banjir Di Pahang, Terengganu, Kelantan Bertambah Buruk

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Jumlah mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan, manakala keadaan banjir di Perak, Selangor dan Johor bertambah baik dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara semakin berkurangan.

Di PAHANG, situasi banjir bertambah buruk apabila mangsa banjir yang dipindahkan di 241 pusat pemindahan mencatatkan angka 18,976 orang daripada 5,032 keluarga setakat pukul 7.30 pagi ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan daerah Maran masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,501 orang diikuti Temerloh (3,020), Lipis (2,551), Raub (2,402), Jerantut (2,329), Kuantan (2,321), Rompin (1,012), Pekan (430) dan Bera (410).

Bagaimanapun, keadaan banjir di daerah Bentong pulih, apabila pusat pemindahan di kawasan itu telah ditutup petang semalam.

Portal itu turut memaklumkan Sungai Pahang di daerah Bera, Kuantan, Lipis, Jerantut, Temerloh dan Maran sudah melepasi tahap bahaya setakat 7 pagi.

Sementara itu, pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ANIH Berhad dalam kenyataan memaklumkan KM113 dan KM115 ditutup kedua-dua hala susulan kenaikan air.

Laluan di KM84.6 – KM84.7 (antara Persimpangan Lanchang ke Persimpangan Karak), LPT1 hala Kuantan juga masih ditutup kepada lalu lintas, bagaimanapun laluan antara Lanchang menghala Kuala Lumpur telah dibuka pada 9 pagi semalam.

Di TERENGGANU, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A. Rahman memaklumkan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 267 orang setakat 8 pagi ini berbanding 117 orang pada 3 petang semalam berikutan pembukaan semula dua pusat pemindahan di Dungun yang menempatkan 156 mangsa.

Di KELANTAN, Tanah Merah menjadi jajahan kedua dilanda banjir di Kelantan dengan lapan pusat pemindahan diaktifkan bagi menempatkan 125 mangsa daripada 33 keluarga setakat 8 pagi.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebelum ini Gua Musang turut terjejas dengan banjir, namun telah pulih dengan kesemua pusat pemindahan di jajahan itu ditutup semalam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.