Ban Pecah Punca Banjir Besar Di Muallim Dan Hilir Perak

TANJUNG MALIM, 5 Jan – Banjir besar yang berlaku di daerah Muallim dan Hilir Perak dipercayai berpunca daripada ban tebatan banjir Sungai Slim di Slim River dan Sungai Bidor di Teluk Intan yang pecah akibat limpahan air susulan hujan berterusan semalam.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata ban tersebut sepatutnya berfungsi untuk mengelakkan banjir, namun arus deras menyebabkan ia pecah.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengambil tindakan membaiki semula ban yang pecah tetapi bergantung kepada keadaan arus air di kedua-dua sungai berkenaan.

Terdahulu beliau melawat dan memberi sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pejabat Kemas, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Azmi Osman, Ketua Polis Daerah Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Slim Mohd Zaidi Aziz di sini semalam.

Menurut Saarani, JPS akan mengambil langkah-langkah mitigasi untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang bagi mengatasi banjir besar seperti kali ini di daerah Muallim selepas kali terakhir bencana alam itu berlaku pada 1971.

Beliau turut menasihatkan mangsa banjir dan petugas keselamatan di PPS terlibat supaya memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Setakat jam 5 petang tadi, daerah Hilir Perak merekodkan 442 mangsa banjir yang ditempatkan di lima PPS selepas 12 kampung ditenggelami air manakala di daerah Muallim pula seramai 458 berada di lima PPS. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.