PKPD Di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud Sabah Mulai Esok – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah mulai esok sehingga 18 Jan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu bertujuan memudahkan tindakan kawalan dan pencegahan lapangan dijalankan, serta menyekat penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti setempat.

“Sidang khas hari ini mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai peningkatan kes positif COVID-19 di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud. Sehingga 31 Dis 2020, KKM telah melaksanakan 207 saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 24 kes positif telah direkodkan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Timbang Dayang,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang memasuki hari ke-209 hari ini.

Beliau turut mengumumkan penamatan PKPD di Pusat Koreksional Jasin dan Kuarters Kakitangan Kerajaan hari ini, selepas pelaporan harian kes aktif di pusat tahanan itu menunjukkan trend penurunan dan terkawal, serta tiada lagi sampel menunggu keputusan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.