Pelan Vaksinasi Kebangsaan Dimuktamad Khamis Ini

REMBAU, 3 Jan – Pelan Vaksinasi Kebangsaan yang dijadualkan bermula Februari depan akan dimuktamad pada Khamis ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ia akan dibincang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin COVID-19 yang dipengerusikannya bersama dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Ia bertujuan melancarkan pelaksanaan pelan berkenaan apabila vaksin COVID-19 diperoleh nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di sini hari ini.

Pelan itu merupakan perancangan secara menyeluruh sebelum negara menerima vaksin COVID-19 pada suku pertama tahun ini merangkumi hospital yang boleh didaftar untuk mendapatkan vaksin termasuk isu pengangkutan dan penyimpanan.

Khairy juga berkata MOSTI sedang merangka Pelan Ekonomi Sentuhan Rendah dengan kerjasama beberapa kementerian termasuk Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam usaha mengelak orang ramai berdepan risiko jangkitan pandemik COVID-19.

Beliau berkata pelan itu merupakan rancangan jangka panjang yang akan mengubah persekitaran ekonomi kepada ekonomi teknologi sentuhan rendah.

Katanya pelan yang memfokus kepada pembangunan dan penggunaan robotik itu membolehkan banyak perkara dapat dilaksanakan tanpa perlu menyentuh mana-mana permukaan. – BERNAMA