ADUN Rembia Sertai UMNO

JASIN, 2 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis hari ini menyertai UMNO, setelah sembilan bulan menjadi wakil rakyat Bebas selepas keluar daripada PKR.

Penyertaan Muhammad Jailani, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, diumumkan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan sewaktu Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian itu di sini hari ini.

Muhammad Jailani berkata keputusan menyertai UMNO diambil kerana yakin parti itu akan menjadi wadah relevan buatnya dalam terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasannya.

“Tujuan lain adalah untuk menguatkan lagi Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN). Saya tetap setia dengan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku ketua kerajaan PN dan kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali daripada BN di peringkat negeri.

“Di Melaka, objektif dan matlamat PN dapat direalisasikan dengan baik oleh BN Melaka yang dipimpin oleh UMNO. Atas wadah itulah saya menyertai UMNO demi meneruskan perjuangan untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut.

Pada 2 Mac tahun lepas, Muhammad Jailani memutuskan untuk menjalin kerjasama dengan PN, gabungan politik baharu yang dibentuk selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang susulan keputusan Bersatu meninggalkan gabungan itu.

Sebelum ini, PN Melaka mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu 13 BN, dua Bersatu dan dua wakil rakyat Bebas yang menyokong PN termasuk Muhammad Jailani, manakala 11 kerusi bagi PH iaitu tujuh DAP, dua Parti Amanah Negara dan dua PKR.

Sementara itu, Abdul Ghafaar berkata UMNO Bahagian Alor Gajah sentiasa bersedia menerima sesiapa sahaja yang berminat menyertai parti itu.

“Semoga kehadiran Muhammad Jailani akan menguatkan lagi kedudukan UMNO Bahagian Alor Gajah dan memberikan semangat baharu untuk meningkatkan lagi kekuatan kita,” katanya.

Muhammad Jailani hari ini turut diumumkan sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Gajah menggantikan Senator Datuk Ismail Ibrahim yang secara suka rela menarik diri daripada jawatan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.