Melaka Pelawa Masyarakat Sertai Tinjauan Pelan Pembangunan Strategik Melaka 2035

MELAKA, 31 Dis – Kerajaan Melaka hari ini mempelawa rakyatnya memberi maklum balas terhadap draf Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) yang dibuka akan kepada umum bermula esok hingga 14 Jan ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi borang dalam talian menerusi https://forms.gle/Y2K3mukbTLwxvm5X9, atau borang fizikal di jabatan dan jabatan kerajaan, serta syarikat berkaitan kerajaan dan pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri.

“Dokumen ini akan menjadi dokumen rujukan, khususnya kepada semua agensi pelaksana dan pemegang taruh yang berkaitan bagi pelaksanaan hala tuju pembangunan komprehensif dan holistik negeri Melaka hingga 2035,” katanya dalam kenyataan.

Sulaiman berkata borang tersebut akan dimuat naik ke laman sosial Facebook rasmi kerajaan negeri pada 10 pagi esok.

“Saya berharap seluruh rakyat negeri Melaka dapat meluangkan masa untuk menyertai sesi libat urus ini dengan menjawab borang tinjauan yang dilampirkan secara dalam talian bagi membolehkan kerajaan negeri mengetahui tahap keyakinan rakyat terhadap kerajaan dalam memastikan hala tuju ke arah pembangunan komprehensif dan holistik negeri Melaka sehingga 2035 dapat direalisasikan,” katanya.

Menurutnya maklumat yang dikumpul akan diguna untuk menambah baik draf PSMJ 2035 sebelum dilancarkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.