UMNO Selangor Bawa Tiga Usul

TANJONG KARANG, 30 Dis – Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian seluruh negeri ini dijangka akan membawa salah satu daripada tiga usul wajib UMNO Selangor untuk dibahaskan di peringkat bahagian masing-masing.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, mesyuarat yang dijadualkan selama tiga hari bermula Jumaat ini akan membahasakan usul berkaitan usaha UMNO Selangor bagi memperkukuh kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN).

Menurutnya, dua usul lain ialah mengelakkan pertembungan dengan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“UMNO juga mengusulkan untuk memastikan PRU15 dapat disegerakan bergantung kepada keadaan semasa Covid-19,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Anak Yatim Kariah Masjid Ar-Raudhah di sini pada Selasa.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, kesemua ketiga-tiga usul itu bagaimanapun terpulang kepada UMNO bahagian untuk dibahaskan.

Sementara itu, mengulas mengenai perjalanan Persidangan Perwakilan UMNO bahagian seluruh Selangor dalam keadaan norma baharu, Noh berkata, beliau telah memanggil semua setiausaha UMNO bahagian untuk mengadakan mesyuarat.

Menurutnya, persidangan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sama ada secara bersemuka atau maya.

“Kehadiran perwakilan mesti minima satu per empat daripada yang layak hadir, manakala kaedah maya untuk bahagian yang berada di zon merah,” katanya.

Mesyuarat UMNO bahagian yang telah tertangguh ekoran penularan COVID-19 diputuskan diadakan secara serentak di 191 bahagian dan akan dirasmikan oleh Ketua UMNO bahagian masing-masing. – SinarHarian