Perkhidmatan Bas Henti-Henti RM1 Di Perak Diperluas – Zolkafly

IPOH, 30 Dis – Kerajaan negeri Perak akan memperluaskan perkhidmatan bas henti-henti dengan kadar bayaran RM1 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang, Sungai Siput dan Chenderiang, Tapah selewat-lewatnya sebelum Ramadan tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Datuk Zolkafly Harun berkata perkhidmatan bas itu mampu memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 40,000 penduduk, termasuk 8,000 masyarakat Orang Asli di kedua-dua kawasan berkenaan.

Katanya pada mulanya perkhidmatan itu diperkenalkan di sekitar Manjung tahun lepas.

“Perkhidmatan bas RM1 ini dapat dinikmati sama ada golongan dewasa mahu pun pelajar sekolah, dan ia akan beroperasi bermula awal pagi hingga lewat petang, dan akan masuk ke kawasan penempatan perkampungan Orang Asli.

“Perkhidmatan bas ini akan dilaksanakan selama setahun sebagai permulaan, dan akan diperluaskan secara berperingkat di kawasan DUN yang lain di negeri ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Pada 16 Dis lepas, Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad semasa membentangkan Belanjawan Negeri 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta bagi melaksanakan perkhidmatan bas itu.

Sementara itu, Zolkafly berkata kerajaan negeri akan melaksanakan Kempen Bijak Guna Tenaga dan Air Perak bermula awal tahun depan bagi menggalakkan rakyat menggunakan kedua-dua sumber itu secara berhemat dan optimum untuk mengelakkan pembaziran.

“Dianggarkan rakyat Perak membayar lebih RM60 juta setiap bulan untuk bil tenaga dan air membabitkan 400,000 buah rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19, yakni peningkatan 40 peratus berbanding sebelum PKP.

“Jadi, kita menyasarkan pengurangan sebanyak 25 peratus atau RM15 juta setelah kempen ini dilaksanakan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.