TMIYC Diharap Jadi Model Pembangunan Belia – Reezal Merican

MUAR, 29 Dis – Pusat belia Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) yang akan dibina di setiap daerah di negeri Johor bakal dijadikan sebagai satu model pembangunan belia yang berkesan, dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyarankan agar negeri-negeri lain untuk mencontohi pembinaannya.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata TMIYC merupakan inisiatif serta misi Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam usaha memperkasa dan merealisasikan potensi belia negeri.

Katanya dalam masa yang sama inisiatif itu akan melahirkan generasi muda Bangsa Johor yang berbudi, berpotensi dan berfikiran maju, di samping melahirkan masyarakat berbilang kaum yang berkepimpinan lagi berkeyakinan tinggi pada masa hadapan.

“TMIYC akan dibina di setiap daerah di Johor dan ia akan dijadikan sebuah hab pembangunan belia dengan mempunyai pelbagai kemudahan. Tapak TMIYC pertama telah dirasmikan di Johor Bahru pada 21 Disember lepas, dan hari ini (29 Dis) tapak TMIYC kedua dirasmikan.

“Pembangunan TMIYC kedua ini adalah di tapak Stadium Sultan Ibrahim, Muar yang merupakan lokasi strategik dan terbaik, dan KBS memperuntukkan RM25 juta untuk pembangunannya,” katanya semasa berucap di Majlis Pecah Tanah TMIYC Muar, di sini, yang dirasmikan Tunku Ismail.

Tunku Ismail turut menghabiskan masa kira-kira 15 minit untuk melawat tapak pameran, serta berkenan mengurniakan sumbangan RM300,000 kepada pelajar miskin daripada 96 kampung di sekitar Muar.

Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.