Sembilan Kluster Baharu Di Selangor, KL, Pahang, Sabah, Melaka Dan NS – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti sembilan kluster baharu hari ini, yang dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Sabah, Melaka dan Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster baharu pertama dikenal pasti, Kluster Seri Lanang, melibatkan daerah Klang, Gombak, Kuala Selangor dan Petaling, Selangor dengan kes dilaporkan positif COVID-19 bermula 25 Dis melalui saringan bersasar di sebuah kilang.

“Sehingga hari ini, sejumlah 1,020 individu telah disaring, dengan 173 kes telah dikesan positif,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster kedua, Kluster Jalan Chu melibatkan daerah Lembah Pantai, Kuala Lumpur dengan kes dilaporkan positif COVID-19 hari ini melalui saringan bersasar di sebuah syarikat dan sehingga kini 44 kes telah dikesan positif.

Kluster berikutnya iaitu Kluster Tapak Bina Awan Puteh melibatkan daerah Lembah Pantai, Kuala Lumpur di mana kes dilaporkan positif COVID-19 hari ini melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan dan sehingga kini 29 kes dikesan positif.

Menurut Dr Noor Hisham, kluster keempat iaitu Kluster Integra Ikon merupakan kluster tempat kerja melibatkan melibatkan daerah Titiwangsa, Kuala Lumpur dengan kes indeks dilaporkan positif COVID-19 pada 27 Dis melalui saringan kendiri dan sehingga kini 11 kes dikesan positif.

Kluster Jalan Satang pula melibatkan daerah Titiwangsa dan Kepong, Kuala Lumpur, daerah Hulu Langat, Klang, Petaling dan Gombak di Selangor serta daerah Bentong di Pahang dengan kes indeks merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) yang dilaporkan positif COVID-19 pada 20 Dis.

“Sehingga hari ini, sejumlah 104 individu telah disaring dengan 30 kes dikesan positif COVID-19,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Tembok Mempaga pula melibatkan daerah Bentong, Pahang dengan kes indeks dilaporkan positif COVID-19 pada 22 Dis melalui saringan tahanan dan sehingga hari ini 284 kes dikesan positif.

Beliau berkata Kluster Timbang Dayang pula melibatkan daerah Kota Belud di Sabah dengan kes indeks dilaporkan positif COVID-19 pada 25 Dis melalui saringan individu bergejala dan sehingga kini 13 kes dikesan positif.

Mengenai Kluster Teguli, ia melibatkan daerah Putatan di Sabah dengan kes indeks dilaporkan positif COVID-19 pada 16 Dis melalui saringan individu bergejala dan sehingga hari ini 12 kes telah dikesan positif.

Kluster terakhir pula ialah Kluster Rambai melibatkan daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah, Melaka; daerah Petaling di Selangor dan daerah Rembau di Negeri Sembilan dengan kes indeks dilaporkan positif COVID-19 pada 27 Dis melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini sejumlah 102 individu telah disaring, di mana 16 kes dikesan positif,” katanya.

Pertambahan sembilan kluster baharu itu menjadikan jumlah kluster yang dilaporkan setakat hari ini adalah sebanyak 498 kluster, manakala 278 kluster dilaporkan tamat termasuk tiga hari ini iaitu Kluster Bot Biru, Kluster Gedong, dan Kluster Jernih.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 220 kluster,” katanya. – BERNAMA