Perak Tanam Lebih Sejuta Pokok Sepanjang 2020

IPOH, 28 Dis – Kerajaan negeri Perak berjaya menanam 1.21 juta pokok di semua kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang ada, sepanjang tahun ini.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata pihaknya akan meneruskan usaha menghijaukan alam sekitar selari dengan kempen penanaman 100 juta pokok selama lima tahun bermula tahun depan yang diterajui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia serta Jabatan Perhutanan Negeri.

“Matlamat meneruskan kempen ini adalah untuk mengekalkan kawasan hijau di seluruh negara selain memelihara dan memulihara kawasan berhutan.

“Semangat cintakan alam dan kesedaran terhadap kepentingan pokok perlu dipertingkatkan di samping mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus tanah negara dilitupi pokok,” katanya dalam sidang media selepas Program Penghijauan Malaysia peringkat negeri di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Bandar Meru Raya di sini, hari ini.

Selain itu, Saarani berkata Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah melancarkan Program Bumi Hijau Perak 2020, antara platform menggalakkan aktiviti penanaman pokok oleh syarikat swasta.

Katanya menerusi program itu, aktiviti pemulihan dan penanaman pokok telah dijalankan di Hutan Simpan Chikus, Sungai Manik, Teluk Intan yang melibatkan penanaman kira-kira 15,000 pokok.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama atau idea bagi membantu melipatgandakan aktiviti penghijauan di Perak sama ada di HSK mahupun tanah kerajaan negeri bagi aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.