Isu Kartel Daging Haram: Pemuda UMNO Buat Laporan Polis, Ulangi Desakan Tubuh Pasukan Khas


KUALA LUMPUR, 28 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengulangi pendirian tegas mereka bahawa kerajaan perlu bertindak segera menubuhkan Pasukan Khas berhubung isu penyeludupan kartel daging haram yang diragui status halal di negara ini.

Menurut Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, memandangkan banyak agensi dan institusi yang terlibat dalam membuat keputusan, urusan kawal selia, pensijilan, pemeriksaan dan penguatkuasan industri Halal di negara ini, Pasukan Khas tersebut hendaklah melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segala siasatan dapat dijalankan secara pantas dan bersepadu.

“Kita mendesak supaya isu ini dapat ditangani dengan segera dan rakyat berhak mengetahui siapakah individu-individu, siapakah nama syarikat-syarikat yang disyaki terbabit dalam kartel daging haram ini.

“Beberapa persoalan yang rakyat berhak mendapatkan maklumat yang tepat dan jelas mengenai isu kartel daging haram ini termasuk yang pertama; Siapakah dalang yang bertanggungjawab mengimport daging sejuk beku yang diragui status halalnya. Kedua mengapakah berlaku monopoli kilang pemprosesan kilang daging halal terutamanya di tiga buah negara iaitu China, Thailand dan India.

“Ketiga kenapakah Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) hanya menghadkan beberapa kilang sahaja di China, India dan Thailand yang mengeksport ayam dan daging ke Malaysia. Keempat adakah DVS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melakukan pemeriksaan secara berkala setiap tahun untuk memastikan status halal ini terus terpelihara, dari segi kesihatan pencegahan penyakit berjangkit daripada binatang dan juga kebersihan kilang-kilang yang diberikan kelulusan status halalnya,” tegasnya kepada media sebaik selepas membuat laporan polis berhubung pendedahan mengenai isu terbabit di Balai Polis Dang Wangi, di sini tadi.

Jelas Dr Asyraf lagi, daripada maklumat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang perolehi setelah mewar-warkan dan mendesak isu tersebut, ramai yang tampil dan memberikan maklumat berkaitan.

“Antaranya dua kilang utama yang memproses daging ayam di China, kali terakhir pemeriksaan dibuat ialah pada 20 Januari 2016 selepas mendapat pensijilan.

“Sepatutnya agensi penguatkuasaan dan pemeriksaan secara berkala sekurang-kurangnya setahun sekali kerana ia melibatkan bekalan daging yang besar bagi pasaran di Malaysia,” katanya.

Persoalan kelima tambah Dr Asyraf, adakah benar DVS tidak pernah mengeluarkan permit import (AP) dalam aspek ekor lembu (Oxtail).

“Justeru apakah status halal ekor-ekor lembu yang begitu banyak berada di pasaran tempatan yang dikatakan banyak diimport dari luar negara terutamanya dari Argentina. Ini juga antara perkara yang perlu kita mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Justeru itu ujar Dr Asyraf, bersandarkan kepada persoalan-persoalan tersebut Pasukan Khas harus menyiasat sedalam-dalamnya apakah wujud penyelewengan terhadap penggunaan status Halal dari segi pensijilan, pemeriksaan sehinggalah ia sampai ke pasaran Malaysia.

“Dan yang paling penting sekiranya ada unsur rasuah perlu segera didedahkan dan diambil tindakan dibawa ke muka pengadilan supaya rakyat merasa yakin terhadap apa yang berlaku hari ini.

“Yang paling penting kita mahu segala siasatan ini dilakukan secara telus dan pantas kerana ia melibatkan kepercayaan dan keyakinan bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi masyarakat antarabangsa terhadap status logo Halal Malaysia yang selama ini mendapat pengiktirafan seantero dunia.

“Kita tidak mahu akibat pengkhianatan daripada pihak-pihak tertentu akhirnya yang terpalit dan tercalar adalah logo Halal Malaysia yang begitu mahal nilainya dan bukan mudah untuk capai ke tahap ini,” katanya lagi.

Ulas Dr Asyraf juga pendedahan mengenai isu itu amat penting kerana ia melibatkan kepentingan awam, rakyat dan umat Islam yang hari ini makin resah gelisah dan gusar apabila timbulnya isu ini yang melibatkan soal sama ada status bekalan daging yang ada di pasaran terutama daging-daging import benar-benar bersih, selamat dan keabsahan status halalnya dapat dipelihara.

“Apatah lagi perkara ini didedahkan di media dan dakwaan ia sudah berlaku 40 tahun. Jadi, sudah tentulah hal ini perlu diteliti dan diperhalusi. Seperti yang semua maklum urusan pemantauan, pemeriksaan, kawal selia dan penguatkuasaan terhadap pemprosesan daging di luar negara melibatkan banyak agensi sebenarnya.

“Kita tidak boleh menyalahkan JAKIM semata-mata kerana ia juga melibatkan agensi lain contohnya dalam konteks pemprosesan daging, kilang dan sebagainya ia melibatkan agensi seperti DVS, aspek makanan halal contohnya di samping JAKIM, Kementerian Kesihatan juga terlibat, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Bahagian Penguatkuasaan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FOSIM) juga yang terbabit,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.