Isu Kartel Daging Haram: Lagi Pihak Gesa Kerajaan Ambil Tindakan Tegas, Drastik

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak mendesak agar tindakan drastik dan tegas diambil dalam kadar segera bersesuaian dengan enam saranan yang telah dibentangkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO sebelum ini berhubung isu kartel daging haram.

Kata Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid, sesemua pihak yang terlibat umpama pengkhianat negara kerana sanggup membelakangi agama demi kepntingan peribadi.

“Tindakan terhadap kartel ini akan menjadi satu amaran dan igauan ngeri buat semua pihak agar kartel ini tidak lagi wujud untuk produk kegunaan umat Islam yang lain.

“Pihak kerajaan tidak boleh mengambil mudah aspek status halal produk daging ini kerana ia boleh menjejaskan aspek spiritual dan fizikal umat Islam terutamanya.

“Pengambilan makanan syubhah dan haram akan memberi kesan besar terhadap pembangunan kerohanian, di samping menjejaskan pembentukan akhlak. Agama Islam sendiri telah meletakkan garis panduan yang jelas dalam aspek status halal setiap makanan minuman malahan Ia telah menjadi sebahagian daripada tuntutan ibadah,” tambahnya dalam satu kenyataan, yang menzahirkan rasa kebimbangan berkaitan pendedahan berkaitan kartel daging haram yang sudah lama bertapak dan beroperasi di dalam negara.

Justeru itu katanya, Pemuda UMNO Negeri Perak menyokong kenyataan dan desakan yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar ditubuhkan satu pasukan khas yang melibatkan pelbagai agensi kawal selia dan penguatkuasaan industri Halal termasuk pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan penyiasatan dan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang bentuk penyelewengan termasuk rasuah dalam isu kartel daging haram ini.

Selain itu juga, beliau juga senada bahawa pihak kerajaan harus mededahkan kesemua syarikat yang terlibat dalam aktiviti kartel itu sekaligus mendedahkan jenama daging import yang terlibat dan masih berada di pasaran sehinggga kini.

Manakala bagi Pemuda UMNO Negeri Kedah, selain menubuhkan pasukan khas, mereka mendesak kerajaan mengkaji semula sistem berkaitan soal import daging dan sijil halal daging import kerana ia melibatkan banyak agensi yang memberi ruang kepada manupulasi.

“Selain pasukan khas itu yang perlu dibentuk segera dan berupaya mengambil tindakan segera membebaskan anasir rasuah, salah guna kuasa dan penipuan setiap individu terbabit, Pemuda UMNO Kedah mendesak kerajaan mengkaji semula sistem berkaitan soal import daging dan sijil halal daging import kerana ia melibatkan banyak agensi yang memberi ruang kepada manupulasi.

“Sekarang kita melihat banyak agensi terbabit dalam sistem pengimportan daging seperti Jabatan Kastam, Maqis, Jabatan Agama dan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).

“Mungkin kerajaan boleh melihat menjadikan pelbagai agensi itu sebagai satu sahaja pasukan petugas khas yang turut dianggotai SPRM, yang bertanggungjawab dari awal sehingga daging sampai kepada pengguna,” ujar Ketua Penerangannya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

Tambah Syed Johan, di samping dapat mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap daging import, ia juga dapat mengurangkan karenah birokrasi dan boleh menghindari peluang ‘kebocoran’ dalam sistem.

Begitu juga bagi Pemuda UMNO Terengganu yang bersedia membantu pihak kerajaan dengan menjadi sukarelawan dalam mengenal pasti peniaga yang masih menggunakan bekalan daging haram ini seandainya telah didedahkan nama-nama syarikat atau jenama daging haram tersebut.

“Tindakan cepat dan pantas ini pastinya meredakan keresahan umat Islam yang sudah mula hilang percaya kepada daging import.

“Kesannya, pemanipulasian harga kepada daging tempatan akan berlaku kerana mendapat permintaan yang tinggi. Malahan peniaga-peniaga kecil berasaskan daging import pasti terkesan apabila stigma negatif ini terus berleluasa,” kata Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera.

Antara lain cadangan Pemuda UMNO ialah menilai kembali kapasiti kakitangan persijilan Halal yang jelas tidak selari dengan bebanan dan keluasan cakupan tugas pengawasan sijil Halal dalam Malaysia dan di luar negara serta melakukan penambahan segera kakitangan pengawal seliaan Halal di JAKIM dan di Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang mampu menampung keperluan mendesak bukan sahaja aspek persijilan Halal Malaysia bahkan pemantauan dan penguatkuasaan.

Begitu juga memperkasakan kembali Majlis Halal Malaysia yang diperkenalkan di zaman Kerajaan Barisan Nasional bagi membangunkan industri Halal secara komprehensif dan bersepadu yang membabitkan sekurang-kurangnya 300 institusi baik agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, Negeri-Negeri hinggalah kepada swasta yang secara langsung terbabit dalam aspek kawal selia, pensijilan, penguatkuasaan dan pembangunan industri Halal Negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.