PKPD Di Asrama Pekerja Westlite, Tampoi Jaya JB Bermula Esok – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 25 Dis – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksana di Asrama Pekerja Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya, Johor Bahru bermula esok hingga 8 Jan depan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pelaksanaan PKPD tersebut susulan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 yang dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) di asrama pekerja itu.

“Hasil saringan dalam masa tiga hari iaitu 21 hingga 23 Dis lepas, KKM mendapati seramai 115 daripada 3,116 penghuni di asrama tersebut positif COVID-19 dan kesemua penghuninya adalah pekerja warga asing.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di asrama pekerja itu,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Menurutnya PKPD itu melibatkan 231 unit rumah dengan penghuni berjumlah 3,116 orang.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata polis menahan seramai 246 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP semalam, dengan 236 daripadanya dikenakan kompaun manakala 10 lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah aktiviti pusat hiburan seramai 91 individu; gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (84); tidak memakai pelitup muka (44); gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (23) dan lain-lain (4),” katanya.

Bagi Operasi Benteng bertujuan mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang tanpa izin, beliau berkata seramai 76 pendatang tanpa izin dan dua tekong ditahan semalam manakala lapan kenderaan darat dirampas.

Selain itu, sejak 24 Julai hingga 24 Dis, seramai 91,791 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa negara dengan 7,023 daripadanya masih menjalani proses kuarantin wajib, 535 dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 84,233 orang dibenarkan pulang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.