Empat Kluster Baharu, Dua Babitkan Tapak Bina Di KL – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 25 Dis – Empat lagi kluster baharu COVID-19 dilaporkan hari ini dengan dua daripadanya membabitkan tapak bina di ibu negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kluster tapak bina berkenaan ialah Kluster Tapak Bina Kiara dan Kluster Tapak Bina Perkasa yang dikenal pasti melalui saringan bersasar di tapak bina berkenaan.

“Kluster Tapak Bina Kiara melibatkan daerah Kepong iaitu kes positif bermula 21 Dis melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan dengan sejumlah 372 individu disaring dan 13 kes dikesan positif COVID-19,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata Kluster Tapak Bina Perkasa pula di daerah Cheras dengan kes positif bermula 22 Dis melalui saringan bersasar melibatkan 451 individu dan 11 kes dikesan positif COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata dua kluster lain ialah Kluster Cassia Diamond di Selangor dan Pulau Pinang serta Kluster Pompod di Sabah.

Kluster Cassia Diamond melibatkan daerah Klang, Kuala Langat, Hulu Langat, Kuala Selangor dan Gombak di Selangor serta daerah Barat Daya di Pulau Pinang.

“Kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif pada 24 Dis melalui saringan individu bergejala dengan sejumlah 76 individu disaring dan 25 kes dikesan positif COVID-19,” katanya.

Kluster Pompod di daerah Kota Belud dan Kudat di Sabah pula dengan kes indeksnya dilaporkan positif pada 13 Dis melalui saringan individu bergejala dengan 216 individu disaring dan 19 kes dikesan positif, katanya.

Dr Noor Hisham berkata enam kluster tamat hari ini iaitu Kluster Tanamera, Kluster Jalan Kalabakan, Kluster Seri Terapi, Kluster Seri Pasir, Kluster Astaka dan Kluster Tembaga.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan tinjauan amalan normal baharu secara dalam talian mulai 25 hingga 30 Nov melibatkan 36,841 responden, bertujuan mengenal pasti amalan normal baharu dalam kalangan komuniti di negara ini.

“Hasil tinjauan mendapati majoriti responden sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi pencegahan COVID-19, iaitu memakai pelitup muka sebanyak 93.3 peratus, menjaga jarak fizikal (89.6 peratus), dan mencuci tangan dengan air serta sabun atau hand sanitizer (89.7 peratus).

“Hasil tinjauan juga mendapati 93.8 peratus responden berani menegur ahli keluarga untuk memakai pelitup muka, berani menegur ahli keluarga untuk menjaga jarak fizikal (90.1 peratus) dan berani menegur ahli keluarga untuk mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer (90.8 peratus),” katanya.

Beliau berkata berkaitan dengan teguran kepada rakan-rakan pula, didapati 82.2 peratus responden menyatakan mereka berani menegur rakan mereka untuk memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal (79.4 peratus) serta mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer (79.2 peratus).

Dr Noor Hisham berkata bagaimanapun, jika teguran itu melibatkan orang lain, hanya 57.3 peratus responden berani menegur untuk memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal (59.6 peratus) serta untuk mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer (56.7 peratus).

“Hasil tinjauan ini merupakan satu dapatan yang amat positif dan memberangsangkan sekali gus menunjukkan masyarakat di negara ini mempunyai kawalan kendiri yang tinggi.

“Segala perubahan bermula dengan diri sendiri dan ia merupakan langkah pertama dalam segala kejayaan termasuk kejayaan dalam memerangi pandemik COVID-19. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam membendung penularan wabak ini,” katanya. – BERNAMA