Sektor Pelancongan Domestik Di Perlis Semakin Pulih

KANGAR, 24 Dis – Sektor pelancongan di Perlis mula menunjukkan perkembangan positif dengan pertambahan jumlah pelancong sejak kebelakangan ini, hasil tarikan baharu berkonsepkan keindahan semula jadi di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata beberapa produk pelancongan sedia ada telah ditambah baik dengan tarikan baharu seperti menyediakan tapak perkhemahan di Taman Eko-Rimba, Bukit Air, Tanah Tinggi Wang Kelian, Tasik Timah Tasoh dan Bukit Jernih.

Katanya, kemudahan berkenaan disediakan bagi memberi pilihan kepada pelancong khususnya mereka yang meminati keindahan alam semula jadi.

“Terdapat pelancong tidak berminat tidur di hotel sebaliknya mereka lebih gemar melakukan aktiviti perkhemahan di hutan dan kami di Perlis sediakan tapak perkhemahan yang mempunyai kemudahan seperti bekalan elektrik, air bersih, tempat mandi dan sebagainya,” katanya kepada Bernama.

Menurut Azlan, sambutan yang diterima di tapak perkhemahan Taman Eko-Rimba adalah menggalakkan apabila tempahan penuh sehingga Mac 2021.

Katanya, kerajaan negeri turut menaik taraf Taman Anggur Perlis kepada Taman Eksotik Perlis dengan menambah beberapa jenis pokok yang hampir pupus serta jarang dilihat seperti pokok Kangar, Nam-nam, Jarak, Kandi dan lain-lain sebagai tarikan kepada generasi baharu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.