PPPNP Catat Pendapatan Operasi RM278 Juta Sehingga Oktober Tahun Ini

IPOH, 24 Dis – Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) mencatatkan pendapatan operasi sebanyak RM278 juta dan untung bersih berjumlah RM20.3 juta bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata kenaikan pendapatan operasi itu mengatasi jumlah pada tahun lalu iaitu sebanyak RM258 juta dan untung bersih berjumlah RM9.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

“Saya difahamkan peningkatan harga Minyak Sawit Mentah (CPO) sedikit sebanyak telah memberi impak positif dari segi pendapatan kepada PPPNP walaupun negara sedang dilanda pandemik COVID-19.

Saya berharap prestasi kewangan yang baik ini mampu memberi ruang kepada PPPNP untuk bukan sahaja mengembangkan perniagaannya tetapi juga memberi penekanan dalam penjanaan ekonomi rakyat melalui pertanian terutamanya bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Saarani yang juga Pengerusi PPPNP mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah PPPNP bilangan kelima tahun 2020 bertujuan membentangkan Bajet PPPNP bagi tahun 2021 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani berkata bajet PPPNP bertemakan Perkasa Sektor Pertanian, Berdaya Tahan dan Harmoni Ekonomi Rakyat memberi fokus untuk menjaga kesejahteraan rakyat serta meneraju kelestarian sumber dan alam sekitar secara efektif.

“Dalam mesyuarat tadi, saya menekankan supaya bajet PPPNP tahun hadapan memberi tumpuan khusus dalam merancakkan semula aktiviti ekonomi supaya rakyat yang terlibat dalam bidang pertanian dan asas tani boleh dibantu dalam mendepani impak buruk susulan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata ia boleh dilakukan dengan menitikberatkan pengeluaran makanan mampan secara domestik melalui usahasama dengan rakan strategik PPPNP mahupun usahawan tani

Katanya bagi tujuan itu, PPPNP akan merangka serta menambah baik beberapa program khusus, antaranya penanaman nangka jenis J33 seluas 202.3 hektar di Sungai Rui, Gerik, nurseri durian, pertanian dalam bandar, Lembah Pertanian Integrasi Lenggong di Lenggong seluas 2,023 hektar, Ladang Usahawan Graduan di Senggang, Kuala Kangsar seluas 404.6 hektar serta pelaburan dalam industri import daging dan makanan laut.

“Pada masa sama, PPPNP melaksanakan program pembangunan usahawan bagi membantu membangunkan usahawan sedia ada serta melahirkan lebih ramai agropreneur dan akuapreneur di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata pada tahun ini, PPPNP telah menyalurkan pinjaman tanpa faedah berjumlah RM2.785 juta dan geran berjumlah RM88,750 yang telah memanfaatkan lebih 1,700 usahawan termasuk kursus latihan bagi mengembangkan lagi perusahaan mereka dalam bidang pertanian, perikanan, penternakan dan produk hiliran pertanian.

Menurutnya, PPPNP telah menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan kepada rakyat dan kerajaan negeri antaranya RM10 juta kepada kerajaan negeri dan agihan dividen Ladang Untuk Rakyat sebanyak RM10.1 juta kepada 2,047 peserta.

Selain itu, menerusi Agihan Ladang Rakyat, ia telah memanfaatkan seramai 3,778 orang di seluruh negeri dengan peruntukan sebanyak RM1.133 juta.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.