Rundingan Vaksin COVID-19 Melalui COVAX, Malaysia Pilih AstraZeneca

PUTRAJAYA, 23 Dis – Malaysia memilih vaksin COVID-19 keluaran syarikat farmaseutikal dari United Kingdom (UK), AstraZeneca, melalui rundingan di bawah fasiliti COVAX bagi mendapatkan bekalan untuk 10 peratus populasi negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata ini menjadikan jaminan bekalan vaksin AstraZeneca untuk negara meningkat kepada 20 peratus iaitu tambahan kepada 10 peratus yang telah dirunding secara terus dengan syarikat itu sebelum ini.

“Kita menjangkakan penghantaran vaksin AstraZeneca melalui COVAX itu sedang dimuktamadkan tetapi kita telah dimaklumkan bahawa ia adalah di antara bulan Mac dan Jun tahun depan.

“Melalui rundingan terus dengan AstraZeneca pula, (Malaysia) akan terima penghantaran (vaksin) pertama pada April atau Mei 2021,” katanya pada sidang media perkembangan perolehan vaksin COVID-19 di sini hari ini.

Malaysia sebelum ini menyertai fasiliti COVAX di bawah perjanjian ‘Optional Purchase Arrangement’ yang membolehkan kerajaan memilih syarikat pengeluar vaksin yang menyertai COVAX bagi mendapatkan bekalan untuk 10 peratus populasi negara ini.

Khairy, yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), berkata kerajaan turut berunding dengan syarikat Pfizer mengenai pilihan untuk menambah 20 peratus lagi bekalan vaksin jika diperlukan.

“Alasannya ialah kerana di Amerika Syarikat ada dua sahaja vaksin yang sudah diluluskan iaitu Pfizer dan Moderna dan kita tahu ia adalah perkara yang pasti,” katanya.

Beliau berkata Malaysia sebelum ini memuktamadkan perjanjian bekalan 12.8 juta dos vaksin COVID-19 keluaran Pfizer yang dijangka tiba di negara ini secara berperingkat mulai Februari 2021.

Mengulas mutasi baharu virus COVID-19 di UK, Khairy berkata Pfizer sedang memantau keberkesanan vaksin keluarannya dan memerlukan tempoh enam minggu untuk melakukan perubahan jika ia kurang berkesan terhadap mutasi tersebut.

Katanya kerajaan juga sedang dalam proses rundingan terakhir dengan tiga lagi syarikat pengeluar vaksin COVID-19 iaitu Sinovac dan CanSinoBIO dari China serta The Gamaleya National Centre dari Rusia dengan syarat syarikat terbabit akan memberi nilai tambah kepada pembangunan vaksin negara.

“Ini termasuklah dengan melakukan proses ‘fill finish’ iaitu pembotolan, jadi kita beli vaksin itu secara pukal bawa ke sini dan pembotolan dilaksanakan di sini.

“Ini adalah proses yang penting sebelum kita ada kapasiti untuk menjalankan keseluruhan proses pembangunan vaksin,” katanya.

Khairy berkata kerajaan juga melihat kepada syarikat yang boleh melaksanakan perkongsian dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemindahan teknologi dengan syarikat tempatan.

Beliau berkata kerajaan sedang berunding bagi mendapatkan akses kepada 14 juta dos vaksin COVID-19 daripada Sinovac dan 6.4 juta dos daripada Gamaleya yang kedua-duanya merupakan vaksin dua dos manakala perjanjian dengan CanSinoBIO melibatkan 3.5 juta vaksin satu dos.

Katanya secara keseluruhan, semua perjanjian akan meliputi 82.8 peratus populasi Malaysia melibatkan kos sebanyak RM2.05 bilion.

Menyentuh mengenai kelewatan Malaysia memperoleh vaksin COVID-19 berbanding beberapa negara seperti Singapura dan Kanada, Khairy berkata kedudukan kewangan negara tidak setara dengan negara maju lain.

“Tidak ada syarikat yang boleh memberi bekalan 100 peratus kepada Malaysia sebab negara-negara maju sudah beli lebih awal daripada kita kerana mereka mampu menawarkan lebih banyak dan mereka boleh membuat keputusan kerana bajet mereka lebih besar daripada kita.

“Kanada sebagai contoh telah beli cukup vaksin untuk diberikan kepada rakyatnya lima ganda. Mereka mempunyai 500 peratus liputan populasi. Dompet kita tidaklah sebesar itu,” katanya. – BERNAMA