Misi Pasukan Pengaman MALBATT Ke Lubnan Diteruskan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Penghantaran pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Lubnan akan diteruskan dalam tempoh penularan pandemik COVID-19 kerana ia adalah komitmen negara kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini bermakna pasukan MALBATT 850-8 yang sedang menjalankan misi pengaman Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) akan meneruskan tugas mereka.

“ATM akan terus menjalankan misi dengan mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) termasuk yang ditetapkan Kerajaan Lubnan dalam usaha menghentikan penularan COVID-19.

“Kerajaan juga akan membekalkan kelengkapan termasuk pelitup muka kepada tentera kita di sana,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Perlindungan COVID-19 Kepada Kontinjen MALBATT 850-8 dan Petugas Barisan Hadapan ATM.

Turut hadir Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79