Lima Kluster Baharu COVID-19 Dikesan – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 23 Dis – Terdapat lima kluster baharu yang dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Sabah, Kedah dan Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia melibatkan Kluster Tapak Bina Jalan Panah di Daerah Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan kes indeks bagi kluster berkenaan dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Dis melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan.

“Sehingga 23 Disember 2020, sejumlah 1,000 individu telah disaring, 21 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19.

Selain itu, Kluster Menara Wang yang turut melibatkan tempat kerja dikesan di Lembah Pantai, Cheras, Titiwangsa, serta di Daerah Petaling, Klang, Sepang dan Hulu Langat di Selangor dan di Maran serta Kuantan, Pahang.

Dr Noor Hisham berkata kes indeks bagi kluster itu telah dilaporkan positif COVID-19 pada 17 Dis lepas melalui saringan individu bergejala dan sejumlah 293 individu telah disaring dengan 23 kes dikesan positif sehingga hari ini.

Bagi Kluster Saga Tengah melibatkan Daerah Tenom dan Keningau di Sabah, beliau berkata kes indeks dilaporkan positif pada 18 Dis melalui saringan individu bergejala dan sehingga hari ini, seramai 298 individu telah disaring dengan 16 kes dikesan positif.

Sementara itu, Kluster Kolam Air di Kota Setar dan Kubang Pasu, Kedah dikesan apabila kes indeks kluster itu dilaporkan positif COVID-19 pada 12 Dis melalui saringan Orang Kena Tahan (OKT) dan sehingga kini, seramai 84 individu disaring dengan 14 kes adalah positif.

Kluster Hala Mutiara di Kinta, Perak pula melibatkan kes indeks yang positif menerusi saringan OKT pada 12 Dis dan seramai 51 individu telah disaring dengan tujuh daripadanya dikesan positif COVID-19.

Sementara itu, sejumlah 256 kluster telah tamat termasuk tiga kluster yang berakhir hari ini iaitu Kluster Kiambang, Kluster Padang, dan Kluster Liawan, dan ia menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 208 kluster.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 43 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini dengan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Muda (162 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (123 kes), dan Kluster Teratai (79 kes),” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.