DUN Sabah Lulus Belanjawan Negeri 2021

KOTA KINABALU, 23 Dis – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Belanjawan negeri 2021 berjumlah RM4.3 bilion setelah dibahas selama tiga hari sejak Isnin.

Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya berkata belanjawan itu diluluskan dengan suara terbanyak ahli mesyuarat.

Terdahulu ketika menggulung perbahasan itu, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata tidak timbul isu kerajaan Sabah bergantung pada kerajaan persekutuan dalam hal-hal tertentu kerana kerajaan persekutuan juga milik rakyat Sabah.

“Kerajaan persekutuan itu juga dibentuk oleh rakyat di Sabah, dan kerajaan persekutuan juga dianggotai oleh para pemimpin dan penjawat awam dari negeri Sabah,” katanya.

Sebaliknya kata beliau, kerjasama rapat di antara kerajaan negeri dan persekutuan amat diperlukan bagi membantu rakyat di negeri itu.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam pelaksanaan Cukai Jualan Negeri ke atas Produk Petroleum yang membolehkan kerajaan Sabah menerima pembayaran secara berterusan.

“Perlu juga ditegaskan kita harus merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menunaikan komitmen memastikan Petronas melunaskan hak dan kepentingan rakyat serta negeri Sabah,” katanya.

Cukai itu merupakan penyumbang terbesar dengan anggaran hasil RM1.25 bilion atau 27.9 peratus daripada keseluruhan hasil negeri pada 2021. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.